16 Jun 2010

Laporan PPLRNK buka tanah satu pembohongan

2 Rejab 1431 H

KOTA BHARU, 14 Jun: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK), Dr Nazmi Ghazali Azmi berharap agar media lebih bertanggungjawab dalam laporannya dengan merujuk kepada pihak berwibawa.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh salah satu media aliran utama baru-baru ini yang melaporkan bahawa (PPLRNK) terlibat dalam pembukaan tanah yang membawa kepada kemusnahan tanaman penduduk kampung dan masyarakat Orang Asli di kawasan berhampiran Felda Aring 5.

Katanya, pihak perbadanan menafikan sebarang bentuk penglibatan oleh pihak perbadanan di dalam aktiviti-aktiviti pembangunan tanah atau ladang di kawasan seperti yang disiarkan oleh media tersebut.

PPLRNK juga, ujarnya menafikan wujud sebarang hubungan dengan individu atau syarikat yang membuka tanah ladang di kawasan tersebut.

Menurutnya, dakwaan bahawa perbadanan ataupun ejen perbadanan terlibat dalam kerja-kerja tersebut merupakan satu pembohongan dan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.

Tambahnya, manakala laporan media berkenaan mengenai perkara tersebut merupakan laporan yang salah dan dibuat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak perbadanan ataupun pihak-pihak berwibawa yang lain.

“Berikutan ini satu laporan polis akan dibuat supaya siasatan mengenai isu yang dianggap amat serius ini dapat dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap agar semoga isu yang disiarkan oleh media tersebut dapat ditangani dengan sebaiknya oleh pihak-pihak yang sebenarnya terlibat dalam masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: