31 Julai 2010

Projek udang: i-BANTAH suarakan keluhan rakyat

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Hujung minggu lepas, Jumaat dan Sabtu adalah antara detik-detik yang paling menuntut kesabaran dan ketekunan saya sebagai Pengerusi i-BANTAH dalam melaksanakan tanggungjawab menggerakkan gerak kerja politik dan kemasyarakatan bagi menangani isu projek i-SHARP. Misinya jelas, kami ingin menghadirkan semula kecerian dan harapan di wajah penduduk Kampung Banggol yang terlibat dengan i-SHARP.

Imbas kembali semasa era pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu antara tahun 1999-2004, antara tumpuan dasar kerajaan negeri ialah mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk RTB di seluruh negeri yang turut melibatkan penduduk Kampung Banggol dengan nama RTB Kubang Labi melalui pemberian Lesen Menduduki Sementara (LMS).

Seramai 240 orang peserta terlibat dengan keluasan tanah kira-kira 500 ekar. Atas harapan untuk membina kehidupan dan masa depan keluarga, bermula 2002, penduduk mengeluarkan belanja sendiri bagi kerja-kerja pembersihan kawasan hutan dan parit digali bagi mengelakkan air bertakung serta dengan keyakinan berbudi kepada tanah tidak akan sia-sia, tenaga dan keringat mula dicurahkan yang hasilnya jelas, kawasan hutan terbiar mula berganti dengan tanaman kelapa sawit, nenas, lada, tembikai, sayur-sayuran, tebu dan tidak terkecuali dibina bangsal peliharaan ayam.

Tinjauan kami petang Jumaat lalu mendapati sedikit sahaja daripada kawasan RTB ini terbiar dan ditumbuhi lalang. Ini menggambarkan penduduk sebenarnya amat memerlukan tanah untuk diusahakan dan langkah bijak kerajaan Terengganu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk terlibat. Bumi Terengganu yang subur anugerah Allah ternyata memberikan pulangan hasil yang memberangsangkan.

Perubahan yang berlaku dalam politik Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004, memberikan lesen kepada kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh bertindak zalim terhadap rakyat. Lot-lot RTB agihan kerajaan PAS sebelum ini telah tidak diperbaharui LMS.

Pihak Pejabat Tanah Daerah telah bertindak zalim walaupun rakyat membantah keras. Ada kebun penduduk dimusnahkan malah ada rumah yang dirobohkan. Berkunjunglah ke Pengkalan Merbau, Langkap. Ada kisah sedih kezaliman kerajaan BN akan diceritakan penduduk. Malah lebih mengaibkan, lot-lot RTB yang dirampas ini telah diagihkan semula oleh kerajaan BN kepada penyokong-penyokong mereka.

Tidak terkecuali RTB Kubang Labi di Kampung Banggol, Permaisuri yang turut tidak diperbaharui LMS walaupun pihak Pejabat Tanah Daerah Setiu ‘tidak sempat’ dan ‘tidak berjaya’ memusnahkan kebun mereka.

Saya menyatakan ‘tidak sempat’ dan ‘tidak berjaya’ kerana saya penuh berkeyakinan kerajaan BN memang berhasrat untuk ‘melenyap pandang’ semua tinggalan era pemerintahan PAS termasuk lot-lot tanah RTB tetapi ekoran dari bantahan keras rakyat mereka terpaksa menghentikannya.

Selamatlah peserta RTB Kubang Labi untuk terus mengusahakan tanah-tanah mereka bermula 2002 sehingga Julai 2010 sekarang, walaupun dalam keadaan LMS yang telah tidak diperbaharui kerana pihak kerajaan sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mengguna pakai tanah-tanah tersebut.

Satu-satu alasan kenapa LMS tidak diperbaharui adalah semata-mata kerana RTB tersebut diagihkan kerajaan PAS. Saya berkeyakinan penuh dengan izin Allah selepas kerajaan BN Terengganu ditumbangkan pasca Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, Kerajaan PAS Terengganu akan mengurniakan geran kekal kepada rakyat yang terlibat.

Hadirnya Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP) melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar) yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol, Permaisuri, diusahakan pemaju Syarikat Blue Archipelago Berhad membawa episod baru perjuangan rakyat.

Di samping kawasan hutan paya gelam yang akan dimusnahkan, tanah RTB penduduk turut terlibat. Daripada 240 peserta, RTB yang diusahakan kira-kira 40 orang peserta termasuk ke dalam perancangan projek i-SHARP.

Di sinilah segalanya bermula bagi i-BANTAH. Di samping isu alam sekitar dan sosio-ekonomi yang turut ditangani walaupun kadang-kadang penilaiannya terlalu relatif dan subjektif. Tetapi isu melibatkan rakyat akan kehilangan tanah yang diusahakan sebagai punca pencarian adalah suatu yang tragis.

Sebagaimana kenyataan terdahulu, i-BANTAH tidak pernah menghalang projek dan kemajuan, tetapi, ingat, jangan ada pihak yang teraniaya. Apa saja atas nama projek dan pembangunan tidak sepatutnya dibina di atas titisan air mata dan kehampaan satu pihak yang lain.

Ketika kunjungan ke lapangan terlibat oleh i-BANTAH pada petang Jumaat 23 Julai bersama Datuk Abu Bakar Chik atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prihatin Tanah Terengganu yang turut disertai Haji Mohamad Said, bekas Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, jelas kelihatan banjaran kebun pelbagai tanaman yang sedang mengeluarkan hasil.

Seorang peserta yang mengusahakan tanaman cili mengungkapkan kekecewaannya kepada kami, “kebun cili Pak Su setiap kali dipetik dapatlah sekitar RM150 hingga RM200, mungkin suatu nilai yang tak dipandang oleh pemaju yang memiliki wang ratusan juta ringgit, tapi besar ertinya bagi kami sekeluarga.

Walaupun pemaju menjanjikan peluang pekerjaan, tetapi bukan semua orang sesuai bekerja di kolam udang, yang bertani, tetap bertani”.

Sebahagian dari tanah kebun penduduk telah diratakan dan digali sedalam ketinggian orang dewasa untuk diambil tanahnya dan diangkut kebahagian fasa satu projek di Kampung Nyatoh walaupun kami difahamkan, kerja-kerja pengambil alihan tanah dan pembayaran pampasan belum selesai.

Alhamdulillah, usaha i-BANTAH mula menampakkan hasil dan kewujudan i-BANTAH mula diiktiraf apabila kira-kira dua minggu lepas sekumpulan pegawai Syarikat Blue Archipelago Berhad dari Kuala Lumpur mengunjungi saya di klinik ekoran beberapa pendedahan media yang dibuat.

Mereka datang dengan senyuman dan saya sambut juga dengan senyuman. Tujuan utama kunjungan dikatakan untuk mengucapkan ‘terima kasih’ atas peranan yang saya mainkan bersama i-BANTAH dan mereka amat mengharapkan peranan i-BANTAH untuk bersama berbincang bagi menangani isu-isu berkaitan rakyat yang timbul.

Sejujurnya mereka mengakui ada beberapa perkara yang terlepas pandang dan mereka sebenarnya tidak mempunyai contact bersama masyarakat. Bantahan yang timbul membuka mata mereka berkenaan situasi yang dihadapi rakyat.

Meminjam kata-kata mereka, “kami orang luar yang datang ke tempat orang untuk berniaga, amat tidak manis sekiranya timbul masalah dengan masyarakat setempat”.

Secara ringkas dan jelas saya menyatakan pendirian kami. Tidak benar kami cuba menghalang projek dari diteruskan, tetapi isu yang bersangkut dengan kepentingan rakyat perlu diselesaikan.

Akhirnya suatu pertemuan yang lebih formal diatur pihak oleh pemaju bersama kami pada petang Sabtu, 24 Julai 2010 bertempat di Riyaz Heritage, Pulau Duyong.

Mereka memaklumkan pertemuan ini perlu diadakan di sekitar Kuala Terengganu dan tidak di Setiu kerana wakil Blue Archipelago datang dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur serta mereka perlu berlepas pulang segera selepas pertemuan. Saya sebenarnya sama sekali tidak berminat untuk datang berbincang di tempat mewah sebegini malah bagi saya berbincang di surau kampung sudah cukup tetapi kerana pemaju beria-ria ingin meraikan kami, maka dengan berat hati saya bersetuju.

Saya hadir mewakili i-BANTAH bersama-sama Tengku Ahmad Tengku Husin, Cikgu Fauzi Abu Samah dan peguam Fathi Aziz Abu Bakar. Sementara Blue Archipelago diketuai Puan Nor Hayati Awang (Program Director), Wan Nadhri Wan Fauzi (Head Corporate & Legal Affairs), Sharizal Shaarani (Manager Strategic Communications), Mazlan Mahmood (Senior Manager Special Projects), Nazrul Fadhlee Mahmud Zuhodi (Manager Human Resources) dan Tarmizah Tambychik (Manager Group Human Resource & Admin).

Dalam susasana harmoni dan ceria, pertemuan petang itu berlaku dengan misi besar rakyat bawahan yang digalas. Hidangan petang yang disediakan tidak membuka selera saya.

Saya membuka perbincangan dengan menjelaskan kepada mereka bahawa penduduk bukanlah peneroka haram di tanah kerajaan sebaliknya tanah yang dibuka adalah atas LMS yang diberikan kerajaan negeri terdahulu tapi kerajaan BN yang berlaku zalim terhadap rakyat sendiri.

Rakyat meletakkan harapan untuk membina masa depan dan kehidupan di sini. Wang dan keringat telah dicurahkan tapi akhirnya dengan linangan air mata mereka terpaksa melihat usaha titik peluh mereka dimusnahkan.

Mungkin seekar kebun cili dengan sekadar hasil seratus dua ringgit setiap kali dipetik tidak bernilai tinggi bagi pemaju, tapi besar nilainya bagi rakyat bawahan.

Memang benar LMS telah tidak diperbaharui, tetapi masih perlu ada pertimbangan kemanusian. Nampaknya penjelasan saya berjaya menyentuh hati mereka. Mereka mengakui bahawa sekiranya ayah, ibu atau orang tua mereka diperlakukan sebegitu, sama sekali mereka tidak dapat menerimanya!

Sempat kami meminta penjelasan bagaimana sebahagian kebun penduduk telah diratakan dan tanah telah digali sedangkan kami dimaklumkan bahawa urusan pengambil alihan tanah termasuk pampasan belum selesai. Mereka mengakui itu adalah kesilapan kontraktor yang menjalankan kerja dan berjanji untuk menemui pemilik kebun terbabit dan memohon maaf.

Dimaklumkan oleh pemaju bahawa projek fasa 2 di Kampung Banggol belum lagi bermula dan survey lokasi dan sempadan projek perlu dilakukan semula kerana survey lokasi yang terdahulu tidak begitu tepat.

Berhubung isu pampasan, ada kekeliruan maklumat berkaitan kadar pampasan RM500 seekar kerana pemaju sebenarnya baru saja menerima laporan penilaian dari Pejabat Tanah Setiu dan mereka memaklumkan nilai pampasannya setimpal.

Memang kami i-BANTAH meletakkan matlamat pertemuan pada petang itu khusus bagi highlight hal-hal yang berkaitan tanah penduduk tanpa kami menyentuh hal-hal berkaitan sosio-ekonomi dan alam sekitar termasuk satu soalan kritikal, bagaimana kalau exlude kawasan tanah penduduk kerana kami berpendapat pemaju masih ada sekitar 2,000 ekar tanpa tanah penduduk.

Apakah kesannya kalau projek tersebut tidak mencapai saiz 1,000 hektar (2,400 ekar)? Sambil saya memaklumkan bahawa kami memahami tidak semua keputusan di tangan pemaju kerana mereka terikat dengan kerenah birokrasi sebagaimana kami juga tidak mampu membuat semua keputusan bagi pihak penduduk tetapi perkara ini perlu diajukan secara serius dan bersungguh-sungguh.

Kami mengakhiri pertemuan dengan janji ini bukan yang pertama dan terakhir. Laporan DEIA (detail environmental impact assessment) adalah antara dokumen yang kami mohon dibentang dan dibincangkan bersama beberapa isu alam sekitar.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: