04 September 2010

Dua buku terbaru Mujahid dilancar

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Dua buah buku terbaru 'Kita Kan Orang Malaysia' dan 'Menuju PAS Baru' karya Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dilancar dalam usaha mendekatkan PAS kepada masyarakat negara ini.

Majlis pelancaran kedua-dua buku tersebut disempurnakan Professor Dr. Abdul Aziz Bari di satu majlis berbuka puasa di sebuah restoran di sini semalam.

Menurut Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, buku 'Menuju PAS Baru - Krisis, Peluang dan Dinamisme', adalah satu analisis berkaitan konflik dalam parti itu sehingga PAS berada di tahap hari ini.

Ianya juga adalah Tesis PhD beliau sendiri berhubung bagaimana PAS bertapak dan berkembang bermula dengan hanya sebuah pertubuhan Islam kecil.

Buku ini juga memuatkan pandangan beliau berhubung PAS pada masa hadapan dan bagaimana parti itu harus melalui lekuk ketiga dalam politik Malaysia.

"Buku ini untuk orang awam baca untuk mereka tahu bagaimana PAS dibina.

"Saya tahu idea saya ini tak popular dalam PAS, setiap perubahan perlu tidak popular," katanya.

Satu lagi bukunya 'Kita Kan Orang Malaysia' pula berkisarkan kisah atau catatan di sebalik masalah perpaduan antara kaum di Malaysia.

Mujahid yang juga anak bekas Mursyidul Am PAS yang pertama, Tuan Haji Yusof Rawa turut mengetengahkan pengalaman peribadi beliau sejak kecil dalam usaha untuk menyatukan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Ianya bermula terlaksana dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS ketika beliau memeganag Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS dan kemuncaknya adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS yang membawa kepada orang bukan Islam menjadi ahli PAS.

Uniknya buku ini, ianya dipersembahkan dalam bentuk bercerita ala novel, sesuai dibaca setiap lapisan masyarakat.

"Dalam buku ini juga saya cuba kupas kita ini Melayu dahulu atau Islam dahulu," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: