21 September 2010

Gesaan mudahkan proses pendidikan anak-anak Rohingya

11 Syawal 1431 H
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah

Pendidikan adalah hak asasi manusia sejak manusia dicipta Allah SWT. Sejak berdirinya Nabi Adam di hadapan Allah, Baginda telah dididik oleh Allah dan para malaikat sehingga dinhayatakan sebagai makhluk yang paling berpengatahuan tinggi berbanding para malaikat.

Kerajaan.Berbezanya pembangunan, kemajuan dan berbezanya status kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara adalah bergantung kepada tahap pendidikan, keluasan dan kemampanan sistem pendidikan yang diimplimentasi dalam sesebuah negara.

Lantaran itu, hal ini juga merupakan faktor penentu kepada kemandirian dan suatu faktor utama penerusan ektik Islam Rohingya untuk terus wujud di muka bumi ini walaupun saban saat mereka berada di ambang kepupusan.

Umat islam Rohingya yang rata-ratanya menjadi muhajir (pelarian) akibat keganasan dan kerakusan Junta tentera Sosialis Burma kini mengalami krisis untuk mendapatkan pendidikan yang menjamin mereka untuk berinteraksi di persana antarabangsa mahupun untuk terus kekal selesa di negara yang mereka tinggal sekarang.

Di Malaysia terdapat ribuan kanak-kanak Rohingya yang tercicir pelajaran malah tidak mengenal huruf.

Kerajaan Malaysia perlu mengeluarkan arahan secara rasmi serta menyeluruh untuk membenarkan anak-anak pelarian Rohingya mendapat pendidikan rendah dan menengah secara formal.

Benar, Malaysia masih membenarkan pelarian seperti Rohingya untuk berada di bumi Malaysia. Namun begitu bagaimana pula dengan pendidikan mereka? Prosedur pendidikan mereka untuk ke sekolah formal masih kabur, tanpa pekeliling dan arahan absah Kementerian Pelajaran kepada guru-guru besar dan PPD untuk menerima pelajar pelarian.

Tiada juga pekeliling dan arahan Parlimen kepada ketua-ketua kampung kerajaan untuk menerima kehadiran mereka serta memastikan mereka menerima dokumen sokongan ketua kampung untuk muamalah dan sebarang aktiviti formal mereka di Malaysia. Undang-undang seperti Akta Imigresen 1951/1963 juga tidak memperincikan golongan pelarian secara khusus.

Mari bersama meneliti bancian khusus pelarian Rohingya di Pulau Pinang yang dijalankan secara sukarela oleh Pusat Perkhidmatan Rohingya TERAS. Di Bagan Dalam Butterworth kini terdapat 100 Keluarga seramai 300 Penduduk yang terdiri daripada kalangan 60 Orang kanak-kanak. Kanak-kanak ini hanya mampu belajar Al Quran da hanya menulis dan membaca melalui kelas tusyen berbayar.

Di kawasan Bagan Ajam, Bagan Lebai Taher dan Bagan Luar terdapat 200 Keluarga dengan seramai 500 Penduduk bersama 100 orang kanak-kanak. Di kawasan ini tiada sekolah agama sekalipun yang wujud untuk mereka.

Di sekitar Perai, Taman Senangin, Kg. Main Roaddan Kg.manis, kini terdapat 300 Kelurga dengan 600 Penduduk yang terdiri daripada 100 kanak-kanak. Terdapat sekolah swasta yang kurang aktif tetapi pengajian agamanya aktif. Fakta yang dinyatakan di atas hanya sebahagian 3000 orang pelarian Rohingya di Pulau Pinang sahaja. Bagaimana dengan negeri-negeri lain?

Rakyat Malaysia maklum bahawa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kini peka dan sedang mengkaji mengenai Pendidikan Kanak-kanak Tanpa Dokumen Pengenalan Diri di Malaysia. Malah Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri pernah menjawab di dalam parlimen malaysia mengenai beberapa kekangan untuk merealisasikan program pendidikan kepada anak-anak pelarian dan pendatang di malaysia.

Di bawah Akta Pendidikan Malaysia (1966) hanya 3 ketagori warga asing yang dibenarkan untuk memasuki sekolah formal kerajaan. Mereka adalah anak-anak duta asing, anak-anak pekerja asing yang bekerja secara sah di malaysia serta pendatang asing yang mendapat status penduduk tetap Malaysia.

Jadi anak-anak Rohingya di Malaysia tidak termasuk di kalangan 3 ketagori kanak-kanak yang dibenarkan menyertai sekolah formal secara mudah tanpa perlu prosedur yang merumitkan. Mungkin disebabkan Malaysia bukan ahli dalam Konvensyen 1951 berhubung dengan Status Pelarian dan Protokol 1967, maka undang-undang negara ini tidak memberi status pelarian atau pemohon suaka.

Tidak iktirafnya status pelarian menyebabkan hak pendidikan juga bukan obligasi Malaysia.

Dalam tahun 1998, Yayasan Salam, serta UNHCR telah hadir untuk menganjurkan program pendidikan tidak formal kepada anak-anak Rohingya di Kampung Cheras Baru, tetapi program tersebut tergendala pada tahun 2000. Bermula tahun 2001, ABIM mengambil tindakan untuk menaja dana untuk pendidikan 50 kanak-kanak Rohingya.

Kebanyakan pusat pendidikan anjuran NGO atau UNHCR akan tergendala atau ditutup kerana ketiadaan dana berterusan, tenaga guru yang komited dan terlatih serta pendidikan yang tidak mengikut kehendak semasa di Malaysia.

Realiti pendidikan anak-anak Rohingya kini adalah. Mereka hanya mampu memiliki pendidikan agama secara tidak formal dan konvensional hanya melalui inisiatif ketua komuniti mereka sahaja.

Pelarian-pelarian ini tidak mempunyai pendidikan formal. Walaupun terdapat sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh NGO-NGO dan komuniti-komuniti etnik, namun peluang pelarian untuk bersekolah terhalang disebabkan kekurangan sumber dan guru-guru yang berkualiti.

Terdapat juga kes kerjasama buruk daripada pihak masjid sehingga menyukarkan mereka mendapat dana untuk mengurus madrasah swasta yang mereka bina secara kecil-kecilan. NGO yang menyediakan pendidikan agama dan pendidikan umum kepada mereka masih jauh daripada mencukupi serta tidak menepati kehendah falsafah pendidikan negara. Hanya beberapa NGO sahaja mendapat kerjasama daripada pihak Yayasan tertentu sebagai contoh terdapat pendidikan di bawah kerjasama Yayasan Salam Selangor.

Terdapat banyak faktor pendesak kepentingan pendidikan formal kepada anak-anak pelarian ini. Antaranya adalah disebabkan kini terdapat 3 juta warga asing di negara ini, di mana satu juta daripada mereka adalah pendatang dan tidak mempunyai dokumen.

Daripada jumlah pendatang haram tersebut, terdapat lebih kurang 90 peratus adalah kaum Chin dan Rohingya yang berasal dari Burma. Rekod UNHCR pada Januari 2009 menyatakan , terdapat 46 000 pelarian yang mendaftar dengan pihak mereka. Daripada jumlah itu 14700 orang adalah kaum Rohingya yang tinggal berselerak di seluruh negara.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bersatu ada menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan, namun masih banyak yang masih perlu dilakukan dari segi hak asasi manusia dalam sistem pendidikan negara.

Sebagai contoh, mengenai hak pendidikan beribu-ribu kanak-kanak warga asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini tidak mendapat hak untuk belajar, walaupun kerajaan Malaysia telah menandatangani Konvensyen mengenai Hak Asasi Kanak-kanak.

Adalah suatu keperluan untuk kaum pelarian mendapat pendidikan secara formal dalam usaha menyediakan suasana sosial yang bersih jenayah, bermoral, memiliki kemahiran, tahu asas undang-undang dan etika negara serta memahami aspirasi negara.

Bila mendapat status pelarian, pastinya kaum itu memiliki 1001 masalah yang melanda. Antaranya ialah murid dari kalangan anak pelarian peperangan seperti pelarian Rohingya yang tidak mengikuti sesi persekolahan kerana sering berpindah-randah atau ibu bapa mereka enggan membayar yuran kepada pihak sekolah yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan dari kaum pendatang dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ibu bapa kanak-kanak malang tersebut juga tidak sanggup membayar yuran tahunan persekolahan iaitu sebanyak RM120 untuk sekolah rendah dan RM240 untuk sekolah menengah yang dikatakan ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Namun begitu terdapat juga beberapa permasalahan lain terhadap anak-anak pelarian walaupun mereka berdokumen daripada UNHCR. Antaranya ketiadaan penyelarasan antara pihak Kementerian Dalam Negeri dengan pihak penguatkuasa seperti RELA. Akibatnya terlalu banyak kes tangkapan PATI juga melibatkan mereka yang memliki kad dokumen yang sah. Lantaran itu terjadi gejala paranoid dalam minda pelarian sehinga sanggup berpindah randah sehingga mengabaikan pendidikan anak-anak mereka.

Yuran yang dikenakan kepada mereka adalah terlalu tinggi memandangkan mereka memiliki 1001 kepayahan untuk bermualamah dalam sosial negara ini kerana hanya memiliki dokumen pelarian tanpa sebarang dokumen sokongan lain. Kesukaran mendapat pendapatan tetap menyebabkan mereka kurang mampu untuk membayar yuran setinggi seperti yang dinyatakan.

Ketiadaan pekeliling khas yang memudahkan kaum ini diterima di sekolah-sekolah kebangsaan tempatan sehingga terlalu banyak kes pendaftaran mereka ditolak oleh PPD dan Guru Besar kerana tidak wujud arahan khas daripada pihak kementerian Pelajaran.

Terdapat banyak kes pihak pelarian didiskriminasikan dalam kariah atau kampung tempatan yang mereka tumpangi, dalam isu menggunakan masjid, hak perkuburan serta kesukaran untuk mendapat kerjasama Ketua Kampung untuk mendapat surat pengesahan. Lantaran itu mereka sukar untuk mendapat sokongan untuk pendaftaran sekolah.

Kelewatan pihak UNHCR untuk mengeluarkan dokumen pelarian juga menjadi permasalahan besar kepada kaum ini. Malah pihak NGO yang sedia membiayai yuran pendidikan formal di Malaysia juga masih terlalu kurang memandangkan ia tidak dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan pusat. Malah terlalu ramai juga yang masih gagal dipantau oleh pihak NGO secara mendasar.

Walaupun Kerajaan Malaysia tidak pernah menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, malah undang-undang seperti Akta Imigresen 1951/1963 tidak memperincikn golongan pelarian secara khusus , namun sebagai kerajaan umat islam yang perihatin, diharapkan kerajaan dapat menyediakan suatu arahan dan pekeliling khas kepada seluruh struktur pendidikan negara untuk memaklumi kehadiran anak-anak pelarian dalam institusi pendidikan negara.

Kerajaan juga perlu mempermudahkan urusan pendaftaran anak-anak pelarian melalui kerjasama erat antara UNHCR dengan pihak Kementerian pelajaran malaysia serta mengkaji semula plan pembayaran yuran anak-anak pelarian agar semua ibu-bapa pelarian mampu untuk membiayai anak-anak mereka setiap bulan.

Memudahkan proses pendidikan bagi anak-anak pelarian bukan satu nilai yang membawa defesit kepada negara. Sebaliknya ia adalah satu manfaat besar kepada negara kita yag ingin menstabilkan suasana sosial yang bebas jenayah, maju serta perihatin terhadap kesengsaraan kaum islam yang diseksa di rantau ini.

Ia satu kredit besar kepada negara Malaysia selaku antara negara OIC yang mamapu menunjukkan teladan yang baik dalam bidang pendidikan terhadap anak-anak pelarian.

Tiada ulasan: