21 September 2010

Pemuda PAS Perak mulakan gerakan mencari 3 remaja hilang di Kampar

11 Syawal 1431 H
Oleh: safarizal saleh

19 September 2010 (KAMPAR) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak hari ini telah memulakan gerakan mencari 3 remaja yang telah dilaporkan hilang pada 2 Syawal minggu lepas yang tinggal di Taman Sentosa, Kampar yang kini masih belum dijumpai.

Pemuda PAS juga mengambil kesempatan menziarahi keluarga remaja tersebut yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar yang juga Exco Pemuda PAS Perak Ridzuan Rashid dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan Abdul Fatah Awang yang juga Exco Pemuda PAS Perak. Turut serta beberapa pimpinan PAS Kawasan Kampar dan juga beberapa Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Tapah, Kampar dan juga Teluk Intan.

Pemuda PAS Perak dalam pertemuan bersama ahli keluarga mangsa tersebut merakamkan rasa simpati di atas apa yang berlaku dan berharap keluarga remaja yang hilang tersebut agar tabah, bersabar dan perbanyakkan doa agar anak-anak mereka segera ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga dengan segera. Kehilangan mereka telah dilaporkan oleh media arus perdana dan usaha masih diteruskan bersama Polis bagi menjejaki mereka semua.

Pelancarkan gerakan membantu mencari remaja yang hilang dengan usaha mengeluarkan dan mengedar poster gambar remaja yang hilang tersebut kepada orang ramai. Arahan juga telah diberikan kepada seluruh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan untuk turut membantu mengesan remaja yang hilang tersebut,terutamanya di kawasan yang disyaki remaja tersebut berada iaitu di Kawasan Pasir Salak,Teluk Intan,Tapah dan Kampar.

Pemuda PAS amat mengharapkan agar seluruh masyarakat turut sama mencari dan mengesan remaja yang hilang itu. Sesungguhnya setiap manusia tidak dapat hidup dengan sendiri tanpa bantuan dan sokongan dari semua pihak bersama.

Tiada ulasan: