21 September 2010

Perantau perlu sedarkan rakyat buat perubahan

11 Syawal 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

SHAH ALAM, 20 Sept: Anak Pahang yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur digesa lebih kerap pulang ke kampung bagi menyedarkan rakyat agar melakukan perubahan besar-besaran pada pilihan raya umum akan datang.

Ini bagi menyelamatkan kerajaan negeri daripada diurus tadbir secara berterusan oleh Umno BN yang lemah dan menyeleweng, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyatakan demikian pada pertemuan khas bersama hampir 400 warga perantau rakyat Pahang sempena Majlis Hari Raya Pakatan Rakyat (PR) Pahang di Kediaman Exco Selangor, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan Pahang sekarang berada dalam kedudukan pengurusan dan pentadbiran yang amat lemah sehingga menyebabkan kerajaan negeri berhutang sebanyak lebih RM2 bilion dengan kewangan negeri pula mengalami defisit selama 12 tahun berturut-turut.

"Kita boleh terus tinggal di luar tetapi kita juga kena sedar tentang tanggungjawab kita di kampung halaman kita. Negeri kita perlu diselamatkan, anak perantau ada peranan yang cukup besar.

"Kalau kita tengok sekarang ini, kerajaan negeri mengalami krisis kewangan yang begitu teruk akibat daripada kelemahan urus tadbir sehingga menyebabkan kerajaan negeri berhutang lebih RM2 bilion.

“Kita kekurangan hasil sehingga akhirnya kerajaan terpaksa mengeluarkan lesen pembalakan di kawasan hutan simpan yang menjadi kawasan hutan tadahan air. Ini membayangkan betapa teruknya krisis kewangan kerajaan.

“Sebab itu ada harapan daripada pimpinan PR Pahang terhadap anak perantau untuk sedarkan rakyat dengan menyalurkan maklumat agar rakyat membuat perubahan," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: