21 September 2010

Bapa cadang pohon pengampunan bebas Umi Azlin

11 Syawal 1431 H

Seorang mekanik bercadang memohon pengampunan bagi membebaskan anak perempuannya yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di China sejak tiga tahun lepas kerana menyeludup dadah ke republik itu.

Mohd Lazim Jusoh, 53, berkata sehubungan itu, beliau memerlukan kerjasama dan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, termasuk Wisma Putra di Kuala Lumpur bagi membebaskan Umi Azlin, 26.

"Saya tidak mampu menanggung sendirian kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar, sekurang-kurangnya lebih RM10,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Puteh hari ini.

Mohd Lazim berkata beliau bercadang mengemukakan permohonan itu tidak lama lagi.

Umi Azlim sebelum ini dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan menyeludup dadah ke China, bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup.

Bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu didapati bersalah menyeludup 2,983 gram heroin di Lapangan Terbang Shantao empat bulan selepas menamatkan pengajiannya, dan telah dijatuhkan hukuman mati pada 15 Mei 2007.

Mohd Lazim turut melahirkan rasa terkilan apabila tidak dapat menghubungi anak sulungnya itu sempena Hari Raya Aidilfitri selepas setahun terputus hubungan.

Beliau berkata Umi Azlin pernah menghubunginya pada awal tahun lepas dan bertanyakan khabar mengenai perkembangan adik-adiknya di sini.

"Mungkin ketika ini talian sibuk sempena perayaan, jadi saya sukar untuk menghubunginya kerana terpaksa melalui beberapa halangan, termasuk di China," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: