25 September 2010

PAS BONGKAR PENYELEWENGAN DALAM FELCRA & FELDA DEMI RAKYAT

15 Syawal 1431 H
Oleh: Saidina Sobri

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat Mazlan Aliman mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat 22 penyelewengan dan salah guna kuasa dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tahan Persekutuan (Felcra). Pendedahan ini bercanggah dengan dakwaan Pengerusi Felcra, Dato Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini kononnya badan itu tidak mempunyai masalah.

Sebagai memenuhi janjinya, Mazlan membongkar satu persatu penyelewengan yang berlaku dalam Felcra selepas Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan Kali Pertama pada 31 Julai dan 1 Ogos 2010, di Perak. "Kita akan dedahkan perkara ini secara bersiri seperti yang dijanjikan dalam himpunan itu," katanya dalam sidang medianya di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), antara penyelewengan berlaku dalam Felcra, termasuklah pembelian estet di Sabah seluas 20,000 hektar dan pelaburan dalam pembelian bon berjumlah RM 17 juta yang tidak mendapat kelulusan.

Jelas Mazlan, sebahagian daripada penyelewengan itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disertakan dokumen dan baucher sebagai bukti penyelewengan Felcra. Tambahnya, SPRM perlu menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak aduan yang telah dibuat bermula 31 Januari 2009.

"Oleh kerana polisi SPRM tidak boleh dedahkan kepada umum, kita pun tidak tahu sejauh mana perkembangan siasatan itu," katanya sebaik ditanya hal tersebut. Beliau juga mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan yang akan didedahkan itu.

"Masyarakat luar menganggap Felcra tidak ada masalah. Daripada perhimpunan lalu kita telah menerima banyak masalah yang disuarakan oleh pesertanya, bahkan mereka tidak tahu dimana hendak disampaikan," katanya.

Selain itu, Mazlan turut mendedahkan bekalan kegagalan kontrak Pertanian Am Felcra Jemoreng Sarawak yang bernilai RM14.8 juta, keraguan projek menggemukan lembu Bio Valley Felcra Seberang Perak dengan peruntukan RM18 juta dan pampasan tanah peserta Felcra. Beliau berkata, kedudukan Felcra sebagai institusi pemulihan dan pembangunan tanah kedua terbesar selepas Felda adalah satu masalah yang serius dan kritikal.

Selain membawa masalah itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Mazlan juga akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Shafie Apdal. Katanya, pihaknya meminta masa selama seminggu untuk menyiapkan dokumen berkaitan penyelewengan itu untuk diedarkan kepada media.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Felcra, Akmaluddin Mohd Noor serta Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria. Terdapat 92,472 peserta Felcra di seluruh negara dan Felcra memiliki 18 anak syarikat dengan 10 ahli lembaga pengarah.

Ibn Taimiyyah menegaskan: "Memimpin dan menguasai ummat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman; semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." - (As-Siasah As-Syariah: 172-175)

Antara bentuk penyelewangan-penyelewengan dalam Felcra:

(1) Bekalan baja Keiserite yang tidak mematuhi spesifikasi.
(2) Penyelewengan pemberian Tolerable Variance Weight bekalan baja dari Helmas dan Kemira.
(3) Syarikat pembekal baja (Helms) tidak ikut syarat bayaran.
(4) Pembelian estet di Sabah seluas 20,000 hektar.
(5) Pelaburan dan pembelian bon berjumlah RM 17 juta yang tidak mendapat kelulusan.
(6) Kegagalan kontrak pertanian am Felcra Jemoreng Sarawak bernilai RM14.8 juta.
(7) Penyelewengan di Special business Unit (SBU) Felcra Bhd.
(8) Penyelewengan di Koperasi Peserta-peserta Felcra Berhad.
(9) Penyelewengan ke atas pembelian Syarikat Hose and Hose berjumlah RM4.5 juta.
(10) Penubuhan Kelab Golf Felcra Bhd menjadi alat melobi.
(11) Dokumen-dokumen palsu bagi kerja-kerja pertanian am di Sabah.
(12) Penyelewengan di dalam pembelian syarikat di bawah tanggungan atau muflis iaitu
Atlantik Rank (M) Sdn Bhd.
(13) Penyelewengan dan salah guna lembu ternakan anak Syarikat Felcra Agro Industri Sdn Bhd.
(14) Salah urus pengambilan tenaga kerja asing hingga menjejaskan produktiviti.
(15) enyelewengan dan penipuan di dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan
Pulau Banggi, Sabah.
(16) Penyelewengan ke atas penyewaan tanah Jalan Semarak Kuala Lumpur.
(17) Penyelewengan ke atas pembelian kilang padi 'Satu Cita Sdn Bhd'.
(18) Keraguan projek menggemukkan lembu Bio Valley Seberang Perak dengan peruntukan
RM18 juta.
(19) Keraguan perancangan projek ternakan lembu berskala besar di 17 kandang milik Felcra
seluruh negara membabitkan anggaran kos ratusan juta.
(20) Kegagalan Felcra Bhd menguruskan tanah peserta Felcra Gugusan Kledang Sayong Kuala
Kangsar.
(21) Rampasan tanah peserta Felcra Kg Perlis Bagan Serai berjumlah 300 ekar.
(22)Penyelewengan pembangunan ladang dan penipuan agihan deviden terhadap peserta Felcra Sekijang Segamat.

Tiada ulasan: