29 Oktober 2010

DAP dakwa kerajaan diskriminasi bina SJK Cina

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan mengamalkan diskriminasi dalam pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina apabila hanya menyiapkan dua daripada 19 buah yang dijanjikan.

Kor Ming yang juga Penolong Bendahari DAP Kebangsaan berkata, kerajaan juga telah mengurangkan 48 buah SJKC sedangkan sekolah berkenaan mengalami pertambahan murid.

“Saya berasa sangat kesal walaupun kerajaan dalam manifesto pilihan raya telah berjanji untuk memindah enam buah sekolah dan membina 13 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang baru. Setakat hari ini hanya dua buah sahaja yang siap yang 17 buah masih belum dalam operasi.

“Jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina telah berkurangan sebanyak 48 buah. Bayangkan jumlah murid sekolah di sekolah jenis kebangsaan telah bertambah daripada 320 ribu menjadi 640 ribu dan antaranya 75 ribu bukan Cina, tapi Melayu dan India.

“Ini bermaksud sekolah jenis kebangsaan adalah sekolah yang diiktiraf dan menerima semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan memansuhkan tiga surat pekeliling dan garis panduan yang didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap SJK (C).

Salah satu garis panduan yang dipersoalkan mengenai tindakan kerajaan hanya membenarkan tapak sekolah rezab milik kerajaan dibina sekolah kebangsaan sahaja kecuali mendapat pengecualian daripada menteri.

“Mengapa tapak sekolah rezab kerajaan, tidak boleh dibina semua sekolah tanpa mengira SJK (C) atau SJK (T) dan perkara ini tidak adil adil sama sekali?” soalnya.

Menurutnya, dua lagi garis panduan dan surat pekeliling yang ditetapkan kementerian juga tidak munasabah, antaranya terpaksa mengumpulkan sendiri dana sebanyak 80 peratus bagi SJK untuk membina bangunan baru.

“Semua lembaga pengelola sekolah SJK (C) dan SJK (T) yang ingin membina sekolah baru atas kesesakan bilik darjah perlu mengumpul sendiri dana 80 peratus baru boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya masyarakat Cina dalam negara ini perlu menangung perbelanjaan RM 100 juta setahun sebagai sumbangan peribadi kepada sekolah jenis kebangsaan sejak negara merdeka.

Beliau juga mempertikai tindakan kementerian yang tidak membenarkan murid yang belajar di sekolah kebangsaan bertukar ke SJK.

“Saya menerima pelbagai rayuan daripada ibu bapa tetapi masih tidak dibenarkan pertukaran biarpun rayuan demi rayuan dikemukakan.

“Alasan Kementerian Pelajaran prestasi sekolah kebangsaan diukur berdasarkan berapa ramai murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau dalam sesi soal jawab dalam Dewan sebelum itu meminta Menteri Pelajaran menyatakan secara terperinci satu demi satu status terkini pembinaan 19 buah Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) yang diumum serta dijanjikan oleh kerajaan pada 31 Januari 2008 serta kos terlibat dalam menyiapkan sekolah-sekolah tersebut.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dah masuk sekolah kebangsan, apa perlu nak tukar. rasanya lebih elok masukkan saja dari awal lagi. ibubapa perlu ada perancangan awal. sebab kementerian pun ada perancangan mereka.

kerajaan sepatutnya menambahseua jenis sekolah mengikut pertambahan penduduk. kerajaan sepatutnya membuat kajian dari semasa ke semasa akan perkara ni. jangan membazirkan wang pada bukan pada tempatnya.