29 Oktober 2010

Patologi: Peluru tembusi tengkorak Aminul

20 Zulkaedah 1431 H

Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati beberapa bulan sebelum sempat meraikan hari jadi ke-15nya pada 26 April 2010, tidak ditembak dari jarak dekat.

Menurut ahli patologi Dr Khairul Azman Ibrahim, dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tembakan yang dikesan itu berbentuk bulat dan bukan “berbentuk bintang dalam kes-kes yang ditembak kurang daripada jarak satu kaki”.

Katanya juga, tiada kesan terbakar - satu ciri ketara dalam luka yang ditembak dari jarak dekat.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai penyiasat terdapat lubang peluru di cermin belakang kereta (dipandu Aminulrasyid)," katanya.

Khairul berkata remaja berkenaan mati “beberapa saat atau minit” selepas peluru mengenai bahagian kiri belakang tengkoraknya dan menembusi otak sebelum keluar dari tengkorak daripada bahagian kanan, berhampiran keningnya.

"Peluru tembus di bahagian depan tengkorak tetapi bukan di kulit menyebabkan bahagian sekitar lebam di bahagian kening mata kanan,” katanya.

Menurut beliau lagi peluru juga dijumpai di bawah kulit.

Beliau juga memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam, luka lain seperti kesan calar adalah kemungkinan akibat pergeseran dengan objek tumpul yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran atau hentakan dari dashboard kereta.

Katanya lagi, beliau menerima mayat remaja itu pada jam 5.55 pagi 26 April 2010 dan badannya sudahpun kaku, menunjukkan Aminulrasyid sudah mati lebih empat jam.

Aminulrasyid ditembak pada jam 1.30 pagi 26 April tahun lalu di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam, kira-kira 50 meter dari persimpangan di rumahnya.

Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menembak mati remaja tersebut selepas keretanya dikejar polis dan berdepan dengan hukuman 30 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

perkara ini berlaku kerana manusia tidak menggunakan akal yang Allah berikan kepada kita. kita sering kali lupa akan akal yang Allah berikan. selepas apa yang berlaku barulah kita gunakan akal untuk melepaskan diri. tetapi apakah gunanya kita gunakan akal selepas berlakunya satu kesalahan. biarpun semuanya saatu takdir tetapi bagi yang berfikir kita cuba mencari jalan penyelesaiannya supaya kita sentiasa meletakkan akal lebih tinggi dari persaan. tu le sebabnya Allah letak kepala kita di atas.