13 Oktober 2010

S'gor anjur seminar pemerkasaan ulama

04 Zulkaedah 1431 H

Kira-kira 600 peserta terdiri daripada mufti, penceramah, cendiakawan Islam, pendakwah, NGO serta ulama di Selangor menghadiri Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Pemerkasaan Ulama Selangor yang bertujuan membincangkan mengenai perkembangan Islam di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata multaqa itu juga bertujuan melihat permasalahan berhubung penyebaran dakwah dan kaedah terbaik mengatasinya.

"Kita mencari kaedah terbaik bagaimana untuk menyampaikan dakwah seperti mengambil idea dari pelbagai negara tetapi apabila ingin mengaplikasikannya di Malaysia apa sahaja yang diambil dari luar perlu disesuaikan dengan realiti di negara ini.

"Dalam kita memfokuskan kepada usaha dakwah di kalangan umat Islam di negara ini pada masa yang sama memandangkan kita mempunyai rakyat berbilang kaum pemahaman tentang Islam juga harus diberitahu kepada kaum lain supaya tidak timbul salah faham terhadap agama ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Hasan berkata demikian selepas Majlis perasmian Multaqa dan seminar selama sehari itu oleh Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor itu juga bertujuan menyuntik nafas baru dalam penyampaian mesej Islam, menyatukan hala tuju dakwah serta memupuk kesatuan dan meredakan perbezaan dalam pemikiran di kalangan peserta.

Selain itu Hasan berkata tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah Islam bukan sahaja terletak di bahu para ulama, pendakwah dan penceramah malah pihak lain seperti ketua jabatan dan NGO juga perlu memegang tanggungjawab itu dalam memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima oleh semua pihak.

"Sudah sampai masanya juga kita kumpulkan pihak yang mempunyai intelektual terlatih dalam bidang dakwah seperti mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (Phd) dalam bidang dakwah bagi membolehkan kita memperolehi lebih banyak ilmu yang bermutu," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: