10 November 2010

Banyakkan cawangan, aktif sebar maklumat

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kekalahan PAS di Galas memerlukan parti itu memperbanyakkan cawangan aktif di kawasan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cawangan yang aktif, katanya penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat.

"Pengajaran besar adalah kita perlu banyak cawangan bergerak.

"Saya harap PAS negeri banyakkan cawangan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas 4 November lalu.

Pada PRK itu Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Yusof 5,324 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman di mana parti itu tidak mempunyai cawangan yang aktif.

Sebaliknya, rakyat bandar dan pinggir bandar masih mengekalkan sokongan kepada PAS seperti PRU 2008 lalu.

"Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang," katanya lagi.

Faktor tersebut juga, ujarnya membezakan kenapa PAS mampu mengekalkan pemerintahan Kelantan namun tidak di Terengganu.

"Saya bangga PAS Kelantan mampu bertahan lebih 20 tahun walaupun dikepung segenap penjuru.

"Bezanya dengan Terengganu adalah kerana Kelantan mempunyai banyak cawangan yang bergerak," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain maklumat tidak sampai, faktor besar kekalahan PAS, katanya adalah padang permainan tidak sama rata.

PAS, katanya bukan sahaja berdepan BN, malah berdepan kerajaan itu sendiri.

"Kita tak rasa hairan dengan keputusan itu, bahkan kita merasa hairan jika kita menang.

"Kita ada pengalaman, kita pernah kalah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, tapi bila pilihan raya umum, kita menang.

"Pilihan raya kecil tidak boleh menjadi ukuran sebenar pilihan raya," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menjayakan kempen PAS di Galas.

Beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak yang mendakwa tsunami politik 2008 berhenti di Galas.

Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat.

"Kita lihat mereka yang berpendidikan tinggi, tidak suka kepada BN. Ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: