24 Disember 2010

PAS: Tun Ibrahim, pahlawan dan negarawan

18 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, yang meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Allahyarham Tun Ibrahim satu kehilangan besar buat negara dan jasanya akan sentiasa dikenang dan dihargai.

"Allahyarham banyak berjasa kepada negara khususnya dalam bidang pertahanan.

"Beliau di zaman hayatnya juga banyak menyelesaikan konflik antara negara.

"PAS akan mengenang Allahyarham sebagai pahlawan dan negarawan," katanya lagi.

Allahyarham difahamkan, menghembus nafas terakhir pada 4.40 pagi tadi.

Jenazah beliau telah dibawa ke rumahnya di No 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar.

"Saya mewakili PAS menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS yang berada di Lembah Klang agar ke masjid negara untuk solat jenazah," katanya.

Allahyarham sebelum ini dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.

Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.

Pada 30 Nov 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT.

Sepanjang menjadi PAT, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.

Allahyarham pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir terhadap Ibrahim di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara mulai 3 petang ini.

Menurut kenyataan Masjid Negara, solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Asar manakala upacara pengebumian akan disempurnakan di Makam Pahlawan selepas itu.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

al fatihah