03 Disember 2010

Syabas tiada mandat kumpul dana

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa menghentikan segera kegiatan mereka memungut wang daripada pengguna sebanyak RM11.40 sebagai nilai air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyatnya untuk Tabung Budi Syabas.

Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Charles Santiago (DAP-Klang) dalam satu kenyataan bersama berkata, kegiatan itu adalah bertentangan dengan mandat dan terma perjanjian tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Syabas sendiri seperti juga terkeluar dari bidang kuasa Enakmen Bekalan Air Selangor 1997.

Menurut mereka, mengikut Enakmen Bekalan Air Selangor 1997 atau Selangor Water Supply Enactment 1997, Syabas hanya diberi lesen untuk menjalankan kegiatan dalam hal mengurus dan membekal air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Adalah difahamkan bahawa Syabas tidak dimandatkan dan juga tidak diberi kuasa untuk membuat apa-apa pungutan wang dari pengguna-pengguna dan tidak sama sekali diberi mandat untuk mengumpul dana dan memulakan sebuah tabung dari serahan wang hasil dari air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Selangor kepada pengguna di Selangor," kata kenyataan itu.

Kegiatan yang didakwa dalam rangka Tanggung Sosial Korporat atau CSRnya itu tidak dapat ditentukan ketelusannya sebaliknya Syabas terlibat dalam membuat dua kali kutipan kepada pengguna tidak dapat ditentukan siapa yang akan menerima dana itu.

"Syabas tidak dihalang untuk menunaikan CSRnya kepada masyarakat kurang berkemampuan dengan keuntungan yang dilaba sekian lama ini.

"Tetapi cara yang dilakukan ini jelas menimbulkan pelbagai pertikaian bahkan bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Enakmen Bekalan Air Selangor 1997," kata kenyataan itu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: