14 Januari 2011

Semangat Federalisme, pindaan Perlembagaan Selangor dan Peranan Najib


9 Safar 1432H MOD.

Dunia berubah wajah kerana internet. Banyak konspirasi jahat dapat dimatikan kerana pendedahan oleh warga Facebook, Twitter dan laman web meskipun media perdana mendiamkan diri. Begitu juga halnya dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang diputarbelitkan oleh pihak tertentu khususnya Utusan Malaysia yang melambangkan 1Malaysia.

Menteri Besar (MB) Selangor Khalid Ibrahim menjadi sasaran kononnya tidak menghormati sultan dan tidak mampu tadbir urus Kerajaan Pakatan Rakyat meskipun Laporan KPRU memetik Laporan Ketua Audit Negara yang mengesyorkan supaya "Selangor meneruskan perbelanjaan berhemat" manakala "Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat (Pahang)".

Apakah perbezaan cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara? Prestasi tadbir urus Selangor dianggap baik sebab itu dicadangkan agar meneruskan perbelanjaan berhemat sementara Johor tidak begitu baik maka perlu dipertingkat dan diperkukuh. Yang paling teruk apabila perbandingan dibuat antara prestasi tadbir urus ketiga-tiga kerajaan negeri tersebut ialah Kerajaan Negeri Pahang iaitu Kerajaan Barisan Nasional yang melambangkan Perdana Menteri 1Malaysia. Sebab itu dicadangkan supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat!

Wahai Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, keranamu 1Malaysia, amalan perbelanjaan berhemat harus didahulukan, mesej tersirat dalam Laporan Ketua Audit Negara harus diutamakan.

ADUN Selangor menjadi sasaran

Selain MB, para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan rakyat Negeri Selangor juga menjadi sasaran politik yang didalangi kuasa politik yang semakin pupus pengaruhnya tetapi masih tidak terhenti-henti memutarbelitkan fakta dalam percubaan mereka menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat yang mendapat mandat rakyat dan sedang berusaha merakyatkan ekonomi demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Contoh terkini ialah kain-kain rentang yang digantung di sekitar Shah Alam tertera tulisan seperti "Di manakah Keadilan Sultan Dalam Isu Pemilihan SUK? Siapa Lebih Berhak?", "Power To The People, No To Royal" dan banyak lagi yang bukan sahaja berbentuk provokasi malah tertera juga logo komponen-komponen parti Pakatan Rakyat dan mempergunakan nama seperti "Biro Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor" seolah-olah Pakatan Rakyat yang melakukan kerja-kerja tersebut.

Umum sedia maklum konspirasi jahat yang ingin mencetuskan ketegangan antara Pakatan Rakyat, rakyat Selangor dengan Institusi Raja ini didalangi kuasa politik yang sedang memperalatkan krisis pelantikan SUK bagi mencapai motif jahat mereka.

Sementara berwaspada kepada konspirasi jahat sedemikian, jangan kita terpedaya dengan percaturan politik yang ingin mencetuskan ketenangan sebagaimana yang pernah dan banyak kali berlaku dalam sejarah politik rejim jahat pra-era internet. Kini kita berada dalam era internet, segala konspirasi jahat mari kita kuburkannya segera. Harapan baru di depan mata selepas kuasa politik jahat dikuburkan!

Sebagai rakyat Selangor, kita wajar merasa marah kerana dihina dengan percaturan politik jahat yang bukan sahaja cuba mencetuskan ketegangan antara rakyat Selangor dengan Institusi Raja malahan cuba memporak-perandakan kepentingan rakyat Selangor dalam isu pelantikan SUK. Yang memilih Kerajaan Pakatan Rakyat ialah rakyat Selangor. Sebarang percubaan tidak legitimate untuk mengkuburkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat merupakan satu penghinaan kepada rakyat.

Menurut perlembagaan...

Di bawah Perkara 134 (1) Perlembagaan Persekutuan, "Persekutuan boleh, atas permintaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, atau pihak berkuasa berkanun atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya kepada perkhidmatan Negeri, pihak berkuasa atau organisasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan".

Banyak penulisan telah menunjukkan bahawa kunci kata di sini ialah "atas permintaan". Bahawa "atas permintaan" patut merujuk kepada permintaan daripada MB, bukan permintaan yang dilakukan oleh "SUK lama" Ramli Mahmud secara senyap-senyap.

Kini jelas prosedur yang wajar ialah apabila wujud keperluan untuk mengemukakan permintaan pemimjaman (secondment) kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pegawai gred JUSA A (JUSA merujuk kepada Jawatan Utama Sektor Awam), peranan MB akan memastikan prosedur dapat berjalan dengan lancar dan mematuhi kedua-dua prinsip legal dan legitimate.

Tanpa melibatkan MB seperti yang telah berlaku, prosedur berkaitan biarpun kelihatan legal sebenarnya tidak sahih dari segi legitimasinya. Prosedur yang telah dilakukan secara senyap-senyap semasa "musim cuti" sekitar akhir tahun telah menimbulkan masalah bukan disebabkan oleh pihak Institusi Raja atau MB. Yang bertanggungjawab kepada krisis kali ini ialah pihak Ramli, pihak Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan dan pihak Pejabat Perdana Menteri atau lebih tepat Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Mengapa Najib? Kenyataan Setiausaha Politik MB Selangor Faekah Husin bertarikh 8 Januari 2011 dan kenyataan Pejabat MB yang lain telah menjelaskan apa yang berlaku. Saya tidak mahu habiskan masa mengulangi apa yang telah dijelaskan oleh Pejabat MB Selangor.

Tetapi saya ingin membangkitkan dua perkara di sini. Pertama, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) merupakan salah satu suruhanjaya penting yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Maka adalah tanggungjawab seorang Perdana Menteri memberi arahan kepada pihak berkaitan bagi memperbetulkan masalah tersebut. Sekiranya Najib berpegang teguh kepada prinsip dan semangat Federalisme, maka beliau akan berbuat demikian kerana seorang pemimpin negara yang tidak memahami betapa pentingnya soal legitimasi dan autonomi kerajaan negeri wajar diperbetulkan dalam isu ini tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Najib anti-Raja Berperlembagaan

Malahan, pengkaji politik Wong Chin Huat (gambar kanan) menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang anti-demokrasi, anti-Federalisme dan anti-raja berperlembagaan sekiranya beliau enggan menyelesaikan masalah ini dengan menyokong pindaan perlembagaan Selangor dan memperbetulkan masalah ini dalam masa tersingkat. Sebagai salah seorang panelis dalam satu forum yang berbicara tentang isu dan krisis pelantikan SUK di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) pada petang 13 Januari 2011, analisis Wong Chin Huat yang berkaitan mendapat sambutan hangat.

Kedua, selepas rombakan pengerusi perhubungan UMNO menyaksikan Najib kekal sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. Jika sekiranya Najib ikhlas dan tidak hipokrit dalam soal menghormati sistem raja berperlembagaan, maka Najib sebagai pemimpin BN harus mengarahkan ADUN pembangkang pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor supaya bukan sahaja hadir dalam persidangan DUN pada 24 Januari 2011 nanti, tetapi juga memberikan sokongan bipartisan kepada pindaan Seksyen 52 Undang-Undang Tubuh Negeru Selangor berpandukan semangat Federalisme dan kepentingan rakyat Selangor.

Seksyen 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan dari perkhidmatan awam yang berkenaan. Sementara menunggu kandungan usul pindaan dikemukakan, sesetengah penulisan berpendapat pindaan tak perlu kerana perkhidmatan awam yang berkenaan merujuk kepada Perkhidmatan Awam Negeri Selangor.

Namun saya berpendapat, pindaan kali ini bukan sekadar berkisar sekitar kunci kata "perkhidmatan awam yang berkenaan". Saya rasakan, pindaan kali ini penting dan merupakan sesuatu yang positif kerana pindaan ini merupakan langkah pertama Kerajaan Pakatan Rakyat cuba menghidupkan semula semangat dan prinsip Federalisme supaya pemusatan kuasa pada Kerajaan Pusat dapat dilemahkan.

Wahai rakyat Selangor, mari kita hadir beramai-ramai ke Stadium Kelana Jaya, Selangor pada 23 Januari 2011 nanti bagi menyuarakan sokongan kita kepada Kerajaan Selangor yang dipilih rakyat tiga tahun dahulu anjuran pergerakan Hormati Suara Rakyat Selangor!

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)-Merdeka Review

Tiada ulasan: