14 Januari 2011

Permohonan Sivakumar semak keputusan SPR ditolak

9 Safar 1432H.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di negeri itu.

Hakim Datuk Aziah Ali yang membuat keputusan di dalam kamar, turut menolak permohonan bekas exco negeri Perak A Sivanesan dan lima lagi berhubung perkara sama.

Pada 22 Okt 2009, mereka diberi kebenaran membuat semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang selepas wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Selain Sivakumar dan Sivanesan, mereka ialah Chen Fook Chye, Tai Sing Ng, Ahmad Sabry Wahab, Abdul Latif Ariffin dan Foo Hon Wai.

Mereka memohon mahkamah mengeluarkan surat perintah bagi memaksa SPR mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Semua pemohon tidak hadir dan hanya diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk S Ambiga.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Amuraria berkata...

Dinegara lain banyak mahkamah kangaroo !