25 Januari 2011

Wanita terselamat terjun dari tingkat 23 di Buenos Aires

20 Safar 1432H.

BUENOS AIRES: Seorang wanita yang nekad terjun dari sebuah restoran di tingkat 23 sebuah hotel di Buenos Aires mencipta 'keajaiban' apabila dia jatuh di atas sebuah teksi yang menyelamatkan nyawanya.

Gambar menunjukkan wanita berusia 30 tahun itu terjatuh di atas bumbung teksi berwarna hitam dan kuning sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan. Saksi yang berada di restoran terbuka di atas bumbung Hotel Panamericano itu menceritakan, mangsa mulanya memesan secawa kopi sebelum meletakkan dompet duitnya di atas meja. Sejurus itu, wanita berkenaan menanggalkan kasutnya dan mula memanjat penghadang keselamatan sebelum tiba-tiba terjun.

“Kalau saya tidak keluar, dia mungkin membunuh saya pula," kata pemandu teksi berkenaan yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Pemandu teksi yang dikenali sebagai Miguel, berusia 39 tahun berkata, ketika itu beliau terdengar satu letupan dan tiba-tiba melihat tubuh seorang wanita terhumban di atas bumbung teksinya.

“Tindakan pertama saya ialah menelefon keluarga saya dan selepas itu, saya mula menangis. Ia sesuatu yang mustahil untuk melihat kejadian seperti ini dan wanita itu masih bernyawa," katanya. - AFP

Tiada ulasan: