25 Januari 2011

Polis siasat SMS disyaki berunsur judi di Tenang

20 Safar 1432H.

Polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket perjudian yang mahu mengambil kesempatan daripada pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini yang kempennya sedang rancak berjalan sekarang.

Jurucakap polis bagi pilihan raya tersebut, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima satu laporan daripada orang awam pagi tadi mengenai SMS yang dikatakan meminta penerimanya memberi maklum balas mengenai parti yang menjadi pilihan pada hari pengundian nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dengan calon PAS, Normala Sudirman.

"Polis sedang menyiasat kes ini dan kita akan dapatkan kerjasama daripada agensi yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan modus operandi pihak berkenaan.

"Penghantar mungkin bergerak dengan kumpulan politik atau kumpulan perjudian," kata Abdul Aziz pada sidang media di Markas Taktikal Polis Diraja Malaysia di Labis hari ini.

Kumpulan ini dipercayai cuba menggunakan data untuk mendapatkan kebarangkalian tentang pihak mana yang akan memenangi pilihan raya tersebut bagi tujuan perjudian.

Abdul Aziz meminta orang ramai yang menerima SMS berkenaan supaya tidak melayaninya tetapi melaporkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

Mengenai perkembangan kempen pilihan raya itu, beliau berkata dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak tujuh laporan diterima yang membabitkan soal pemasangan bendera dan poster.

Beliau berkata laporan itu dibuat ekoran terdapat bendera dan poster parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya berkenaan tetapi turut digantung.

"Kita telah pun bekerjasama dengan pihak berkuasa Majlis Daerah Labis untuk menurunkan kesemua poster yang tidak berkenaan termasuk poster dan bendera yang dipasang di tempat yang tidak sesuai," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata polis telah meluluskan 22 permohonan permit bagi tujuan ceramah kepada BN dan PAS.

"Kesemua 22 ceramah telah dijalankan dan kita tak terima sebarang laporan mengenai ceramah yang tidak mempunyai permit," jelasnya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember lepas.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: