25 Januari 2011

Lepas Gobala, Mustaffa Kamil pula kena tindakan

20 Safar 1432H.
Oleh : Salhan K Ahmad & Aidila Razak.

Bekas naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub hari ini mengesahkan bahawa beliau menerima satu surat tunjuk sebab daripada parti itu, dipercayai berkaitan tindakannya mempertikaikan proses pemilihan parti.

Ketika dihubungi, Mustaffa berkata beliau bagaimanapun masih belum memutuskan sama ada akan menjawab surat yang ditandatangani setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution.

zaid ibrahim pc 091110 mustaffa kamil ayubBeliau memberi alasan, tempoh selama sepuluh hari yang ditetapkan dalam surat tarikh bertarikh 13 Januari itu telahpun berakhir.

Sedangkan, beliau hanya menerima surat berdaftar itu di rumahnya di Kota Damansara semalam, katanya lagi.

"Saya sedang pertimbang apa langkah yang saya patut buat sebab tempoh dah tamat. Saya belum buat keputusan sama ada untuk jawab atau tidak," katanya lagi.

Ketika ditanya, Mustaffa bagaimanapun enggan menjelaskan butiran lanjut dalam surat yang salinannya turut dihantar kepada ketua umum, presiden, dan naib presiden parti.

"Tak tahulah saya, tapi nampak macam bersungguh-sungguh sangat (kandungan surat itu).

"(Kandungan surat) itu saya tak mahu sebutlah. Tapi saya agak ada kaitan dengan proses pemilihan parti," kata bekas calon timbalan presiden itu lagi.

Surat belum 'dikuatkuasa'

Sementara itu, ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata , surat tunjuk sebab itu tidak berkuatkuasa sehingga biro politik bermesyuarat mengenainya esok.

Katanya, parti itu telah meminta perkara berkenaan ditangguhkan sehingga kepemimpinan tertinggi dan biro politik mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.

anwar keadilan network launch 230111Anwar juga berkata, tindakan itu tidak melibatkan tindakan yang dilakukan Mustaffa Kamil mahupun kenyataan yang dikeluarkannya.

Sebaliknya, Anwar berkata ia adalah berhubung tindakan di peringkat cabang Pasir Salak yang dianggotai Mustaffa Kamil.

Tambahnya, presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga telah bertemu Mustaffa Kamil semalam untuk mendapatkan penjelasan.

Anwar berkata demikian ketika ditemui wartawan dalam satu majlis anjuran kerajaan Selangor hari ini.
Mustaffa kalah tipis dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan ketua cabang berkenaan pada September tahun lalu.

Mustaffa Kamil merupakan pemimpin PKR kedua yang dikenakan tindakan disiplin selepas N Gobalakrishnan, calon naib presiden yang turut tewas dalam perebutan jawatan naib presiden.

Gobalakrishnan dalam tulisannya berkata Anwar mahu "menamatkan" Mustaffa dengan melantik bekas pengerusi PKR Perak itu ke jawatan ahli biro politik dan juga ke jawatan ketua biro latihan.

Isu kedudukan JPP

Mustaffa sebelum ini telah menimbulkan isu berhubung kedudukan jawatankuasa pemilihan parti (JPP) itu dalam menjalankan pemilihan berkenaan.

Mustaffa kamil ayub with N Gobalakrishnan and S ManikasavagamBeliau antara lainnya berkata, pemisahan tanggungjawab antara badan itu dengan sekretariat parti masih tidak jelas memandangkan masih terdapat persepsi bahawa JPP tiada kuasa autonomi.

Dalam satu sidang media pada 12 November lalu, Mustaffa memberi contoh tindakan beberapa ahli JPP yang kelihatan memakai lencana beberapa calon yang bertanding ketika menjalankan pemilihan parti.

Beliau turut mendakwa, sesetengah aduan semasa pemilihan cabang yang berakhir bulan lalu tidak dipandang serius oleh JPP mahupun sekretariat PKR sendiri.

Gobalakrishnan pula menerima tindakan itu berikutan tindakannya menyerang pemimpin parti itu termasuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui tulisan di laman Twitter selepas tewas dalam pemilihan tersebut.

Dilaporkan, Gobalakrishnan antara lainnya menulis bahawa beliau tidak terkejut dengan keputusan parti itu dalam menentukan kedudukan untuk Mustaffa Kamil Ayub yang turut kecundang dalam pemilihan itu.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

baei berkata...

Kalau nak pertikai buatlah secara tertutup, komunikasi penting dalam mengukuhkan parti. ahli parti yang tidak boleh patuh perkara seperti ini harus dipecat saja. merosakkan parti.