09 Februari 2011

4 rentung dalam kebakaran di Puchong

06 Rabiul Awal 1432 H.

PETALING JAYA: Empat orang, tiga daripadanya rakyat Vietnam, rentung dalam kebakaran di sebuah stor pembuatan sofa di Taman Perindustrian Bandar Kinrara, Puchong dekat sini, awal hari ini.

Mereka yang maut dalam kejadian 1 pagi itu terdiri dari dua lelaki dan sepasang suami isteri. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang.

Rakyat Vietnam yang rentung itu dikenali sebagai Ma Van Ma, 26, dan Bao Van Kien, 28, serta seorang wanita Ngo Yen Tai Nhung, 35, manakala rakyat tempatan yang maut ialah B Prabu, 21.

Mayat suami isteri itu ditemui dalam keadaan berpelukan manakala satu mayat ditemui di tengah stor dan satu lagi ditemui di tepi dinding belakang, kata Pemangku Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Anuar Harun.

Beliau berkata, ketika kebakaran terdapat tujuh pekerja terdiri dari empat lelaki dan tiga wanita tidur di tingkat atas stor itu.

"Tiga daripada mereka termasuk dua wanita sempat keluar dari stor itu. Seorang daripadanya cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu disedari seorang daripada pekerja lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Deepak. Dia kemudian mendapatkan pertolongan daripada kereta peronda polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan itu.

"Anggota peronda terpaksa memecahkan rantai kunci di belakang stor itu bagi mengeluarkan mangsa kerana api marak terlalu cepat berikutan terdapat bahan mudah terbakar seperti span dan kayu dalam stor itu," katanya.

Beliau berkata empat jentera bersama 30 anggota bomba dan penyelamat dari balai Bukit Puchong, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: