09 Februari 2011

DEBAT - JAMIL KHIR DIMINTA SERAH JAWATAN MENTERI NYA KEPADA MOHD NOOR DERIS

06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

ISU Debat yang melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz nampaknya sedikit mengelirukan. Tuan Guru Nik Aziz menafikan beliau mahu berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan sepertimana yang kebanyakan dilaporkan di dalam media. Isu debat mula timbul apabila ulamak veteren Umno Kelantan, Mohd Noor Deris mencabar Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengannya berkaitan isu menyokong Umno itu Jahiliyyah termasuk juga isu Malaysia bukan Negara Islam.

Mohd Noor Deris juga telah membuat laporan kepada Majlis Fatwa agar kenyataan Tuan Guru Nik Aziz itu disiasat dan tindakan diambil terhadapnya. Apabila ditanya oleh wartawan, Tuan guru Nik Aziz menyebut beliau pada bila-bila masa bersedia untuk berhadapan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Soal berdebat dengan Mohd Noor Deris, Tuan Guru Nik Aziz lebih suka untuk berdebat dengan tokoh yang lebih berwibawa di dalam Umno atau Kerajaan. Semua kita tahu bahawa siapalah Mohd Noor Deris yang digelar `ulamak terompah kayu' di Kelantan itu.

Maka, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam, Jamil Khir Baharom merasa terkilan di atas keengganan Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan `ulamak terompah kayu' tersebut. Beliau dipetik berkata,

" Selesai dulu dengan Mohd Noor, soal agama ini bukan kira setaraf, layak atau tidak, dia (Nik Aziz) tak perlu babitkan orang lain, Majlis Fatwa kalau minta bagi fatwa bolehlah, tapi bukan atas permintaan individu tapi Raja. Itu peraturan fatwa, kalau dia nak cabar Majlis Fatwa, maknanya dia tidak faham fungsi dan peranan majlis,” kata Jamil.

Menjawab kenyataan Jamil Khir tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa bukan beliau yang mengheret nama Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi orang lain yang mencadangkan pandangannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa. “Saya hanya menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh wartawan,” jelasnya.

Tuan Guru Nik Aziz telah menjelaskan bahawa beliau sedia berdebat dengan sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa atau kedudukan di dalam kerajaan mahupun Umno. Bukan masalah Tuan Guru Nik Aziz memilih darjat atau kedudukan,

tetapi beliau mahu dengar sendiri hujah dari ulamak yang berkuasa di dalam kerajaan dan Umno bukan dari `cicak mengkarung' yang hanya tahu membodek pemimpin mereka. Selama ini pihak kerajaan dan Umno lah yang lantang menuduh PAS yang bukan-bukan, maka pemimpin merekalah yang perlu ke depan.

Di dalam kerajaan sekarang, siapakah yang paling wajar berdepan dengan Tuan Guru Nik Aziz? Jawapannya, Tentulah Menteri yang sibuk menyuruh Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan Mohd Noor Deris, iaitu Jamil Khir Baharom sendiri. Beliau Menteri yang menjaga agama dan berpendidikan agama malah pernah memegang jawatan tertinggi di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Apakah disebabkan beliau kecut seperti kecutnya Najib untuk berdebat, maka beliau bersungguh-sungguh mahu Mohd Noor Deris di`korban'kan bagi menggantikannya? Jika begitu, Jamil Khir wajar serahkan jawatan Menteri yang dipegangnya itu kepada Mohd Noor Deris.

Andainya Jamil Khir juga kecut untuk berdebat dengan Tuan Guru Nik Aziz, beliau boleh mengesyorkan Penasihat Agama kepada PM untuk menggantikannya. Mengapa perlu di`korban'kan `ulamak terompah kayu' tersebut? Ulamak Umno Kelantan yang tidak bermoral dan berakhlak seperti itu hanya layak berdepan dengan anak-anak murid pondok di Pulau Melaka sahaja.

Bukan untuk memperkecilkan ilmu yang sedia kecil ulamak Umno tersebut, tetapi apa yang boleh ulamak ini lakukan hasil dari perdebatan itu nanti? Apa jawatan beliau di dalam kerajaan? Layakkah beliau menasihati Najib dan Bibik Rosmah dalam hal ehwal agama nanti?

Kita tunggu apakah tindakan kerajaan dan Umno di dalam isu debat ini. Seorang dua Mufti nampaknya telah mula bersuara seolah-olah tidak selesa jika debat ini berlangsung.

Kununnya debat tiada di dalam Islam, yang ada hanya muzakarah. Masalahnya, Umno sendiri pun selalu mengelak untuk bermuzakarah dengan PAS dalam soal agama seperti isu Negara Islam, Hukum Hudud, Akta ISA yang zalim dan berbagai isu lagi. Adakah anda seperti saya yang yakin akhirnya isu debat ini akan tenggelam begitu sahaja akibat Umno yang terkenal dengan sifat pengecutnya itu?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jamil pak tongko pegi mati cepat lagi bagus aman sikit dunia ni daripada dok jadik munafik kerana pertahankan umno laknatullah