24 Mac 2011

Banjir terburuk Sungai Manik

19 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SUNGAI MANIK - Hujan lebat yang berlarutan di kawasan ini menyebabkan 81 penduduk daripada dua kampung terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas kediaman mereka dinaiki air semenjak, semalam.

Salah seorang penduduk Kampung Kunci Air 4, Labu Kubong, Safarina Jaafar, 27, berkata, dia sekeluarga terpaksa berpindah Surau Ar-Taufiqiyah, kira-kira 9 pagi semalam selepas rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira 0.6 meter.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini dikatakan terburuk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini yang menyebabkan beberapa keluarga turut berpindah ke surau berkenaan.

“Walaupun sebelum ini pernah mengalami banjir namun, tidak menyebabkan kami sekeluarga berpindah. Hujan lebat selama beberapa jam pada petang Ahad lalu menyebabkan air mulai naik namun, tidak pada paras bahaya.

“Namun begitu, hujan berterusan pada kelmarin menyebabkan saya, suami dana anak berusia tujuh tahun mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat lebih selamat selepas kediaman kami dinaiki air kira-kira 0.6 meter pagi tadi (semalam),” katanya.

Dia berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Ar-Taufiqiyah, Labu Kubong, di sini, semalam.

Dalam nada sama, seorang warga emas, Amit Mat Isa, 70, berkata, kejadian banjir di kawasan Tanjung Ara, Chenderong Balai adalah perkara biasa namun hujan lebat berlarutan beberapa hari menyebabkan rumahnya kini dinaiki air.

Menurutnya, dia tinggal bersama isteri dan anak perempuan yang masih lagi berpantang berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang air banjir akan melimpah masuk ke dalam rumahnya.

“Ini adalah antara banjir terburuk yang pernah kami alami sejak tiga tahun kebelakangan ini walaupun kampung ini sering kali dilanda banjir setiap kali hujan.

“Saya dan keluarga sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir sekiranya berlaku dalam tempoh terdekat, namun begitu saya bimbang akan keselamatan anak saya yang masih dalam tempoh berpantang,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Ara, Chenderong Balai, di sini, semalam.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: