24 Mac 2011

Bom disangka besi buruk

19 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

MUAR – Sorang pengawal keselamatan tidak menyangka besi buruk yang dijumpai dalam kebun di belakang rumahnya di Kampung Hj Abdullah, Sungai Abong merupakan sebutir bom mortar lama.

Bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang dipercayai sudah berusia lebih 50 tahun dipindahkan Unit Pemusnah Bom Muar kira-kira jam 9 pagi semalam sebagai langkah keselamatan.

Yaakob Abas, 56, berkata, beliau menjumpai bom tersebut ketika sedang membersihkan kebunnya itu pada Ahad lalu.

Menurutnya, sebelum ini kebun miliknya itu agak terbiar dan dipenuhi pokok-pokok liar.

“Sedang saya membersihkan semak berhampiran pokok getah, ternampak besi buruk yang tertanam separuh dalam tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Yaakob berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, beliau bersendirian berada dalam kebun berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada bom ini masih aktif atau sebaliknya. Saya yang takut bergegas pulang ke rumah demi keselamatan diri.

“Saya tidak menyangka dalam kebun ini mengandungi bom lama kerana jarak tempat penemuan bom dengan rumahnya kurang 50 meter,” katanya.

Yaakob berkata, kemungkinan di dalam kebun itu terdapat bom lama lain yang masih belum dijumpai lagi.

“Seramai tujuh anggota polis termasuk daripada Unit Pemusnah Bom Muar datang ke kebunnya dan berjaya memindahkan bom ini,” katanya.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan situasi itu, tetapi dia tetap menganggap penemuan itu sebagai pengalaman yang berharga.

Sementara Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, penemuan sebutir objek di Kampung Hj Abdullah itu bukan bom lama seperti yang diperkatakan.

“Ia adalah bom dummy yang digunakan untuk latihan. Bagaimanapun, pihak kami akan melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana bom ini boleh berada di dalam kebun milik Yaakob,” katanya ketika dihubungi.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: