24 Mac 2011

SPM 2010: Maahad Muhammadi (L) lulus 100%

19 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 24 Mac: Maahad Muhammadi Lelaki mencapai kelulusan seratus peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, manakala Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam diumumkan Pelajar Cemerlang SPM 2010 keseluruhan sekolah itu dan keseluruhan pelajar SPM 2010 bagi sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Nik Muhammad Farhan memperolehi 11 A+ bagi kesemua mata pelajaran SPM yang diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika membuat pengumuman itu semalam, berkata daripada seramai 270 pelajar Maahad Muhammadi Lelaki yang menduduki peperiksaan SPM 2010 telah mencapai kelulusan seratus peratus.

“Daripada 270 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2010 itu, satu orang memperolehi 12 A, sembilan orang 9 A, 14 orang 10 A, enam orang 9 A, enam orang 8 A dan 27 orang mendapat 7 A.

“Daripada jumlah pelajar tersebut, 10 orang diisytihar sebagai Pelajar Cemerlang dan Terbaik bagi Maahad Muhammadi Lelaki.

“Sementara Pelajar Cemerlang dan Terbaik bagi keseluruhan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki dan keseluruhan pelajar negeri Kelantan sekolah di bawah YIK ialah Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam, yang memperolehi 11 A+ bagi kesemua 11 mata pelajaran yang diambilnya,” katanya.

Beliau membuat mengumumkan itu pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa dekat sini.

Berdasarkan analisis segera persijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 selepas keputusan diumumkan, dari segi pencapaian “A” seramai 40 orang pelajar telah memperolehi 11 A di seluruh sekolah di bawah YIK.

Sementara seramai 51 orang memperolehi 10A, 76 orang 9A, 91 orang 8A dan 158 orang 7A.

Menurutnya, pada 2010 dilihat peningkatan agak tinggi dalam pencapaian bagi sekolah YIK di seluruh negeri.

“Pada 2009, pencapaian keseluruhan pelajar SPM sekolah-sekolah YIK ialah 95.91 peratus.

“Sementara pada 2010, menunjukkan peningkatan iaitu peratus pencapaiannya sebanyak 96.89. Menunjukkan kenaikan geraf pencpaian berlaku pada setiap tahun bagi semua peperiksaan sekolah di bawah YIK,” katanya.

Berdasarkan laporan keputusan peperiksaan SPM 2009, sebanyak 10 buah sekolah di bawah YIK telah mencapai kelulusan seratus peratusan.

“Alhamdulillah, pada 2010, sebanyak 17 buah sekolah di bawah YIK telah mencapai keputusan seratus peratus dalam peperiksaan SPM, meningkat daripada 10 buah sekolah kepada 17 buah. Alhamdulillah, ini satu pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Turut diumumkan Pelajar Cemerlang tempat kedua iaitu Muhammad Aslam Ismail 12 A (10 A+, 1 A dan 1 A-).

Ketiga, Hilmi Hisham Marzuki (10 A+ dan 1 A-), ke empat Nik Muhammad Aiman Nik Kamil Amirah (8 A+ dan 3 A), dan kelima Ahmad Adib Mukhtar (8 A+ dan 3 A+, 2 A, 1 A-).

Turut hadir Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki Ustaz Azhar Salleh.

Harakahdaily/-
Oleh : Muhammad Yusri Amin .

Tiada ulasan: