28 Mac 2011

Libya: Di mana peranan Malaysia?

23 Rabiulakhir 1432H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 28 Mac: Presiden PAS sekali lagi melahirkan rasa kecewa terhadap peranan Malaysia selaku negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dilihat masih berdiam diri dalam isu perang saudara di Libya. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia perlu memainkan peranan untuk mendesak OIC campur tangan bagi menyelamatkan rakyat Libya yang kini menjadi sasaran perang. "Masih belum terlambat, kita mahu supaya Malaysia main peranan bersungguh supaya OIC menjadi pelindung kepada umat dan contoh kepada keadilan manusia sejagat, termasuk orang bukan Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. Beliau menyatakan demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini. "Di mana perginya negara arab, OIC. Apa peranan yang perlu diambil negara ini? "Seolah-olah kita sudah terperangkap dengan kepentingan kuasa besar dunia sehingga menggadai hak asasi manusia negara anggota sendiri," katanya lagi. Sehingga kini ribuan terbunuh sejak bantahan agar Muammar Gaddafi berundur diadakan dan dijangka akan terus meningkat apabila turut dicampurtangan tentera bersekutu. Sementara itu, agensi berita AP semalam melaporkan Pemberontak Libya yang disokong serangan udara tentera bersekutu menawan semula bandar minyak utama dalam kemaraan mereka ke arah barat menuju ke ibu negara, Tripoli. Selepas terhalang dengan penggunaan senjata berat oleh tentera Gaddafi, pihak pemberontak menawan bandar Ajadibya semalam dan mara ke bandar minyak Brega. Serangan udara antarabangsa memusnahkan banyak senjata berat tentera Libya di kawasan itu. Harakahdaily/- Oleh : Nazri Abdullah.

Tiada ulasan: