18 April 2011

3 Sahabat Maut, 2 Parah Dalam Nahas

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR 17 April - Keriangan empat sahabat menghabiskan masa malam minggu bersama, berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 28.2 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Putrajaya, dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa terkorban ialah pemandu, Sek Kah Kiat serta penumpangnya, Tan Jun Dee dan Chia Boon Yong masing-masing berusia 20 tahun.

Seorang lagi penumpang kereta Toyota Vios yang belum dikenal pasti identitinya juga berusia 20 tahun parah selain penunggang motosikal dirempuh kereta dinaiki empat sahabat berkenaan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supritendan Zulkifli Jonit berkata, kemalangan itu berlaku ketika keempat-empat mereka yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan ke arah Putrajaya.

"Sampai di lokasi kemalangan, pemandu kereta itu dikatakan gagal mengawal kenderaan kerana memandu laju sebelum merempuh belakang sebuah motosikal.

"Kereta itu kemudian terbabas dan merempuh belakang sebuah lori di tepi jalan menyebabkan keempat-empat mereka tersepit," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang maut dan cedera parah dihantar ke Hospital Serdang.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Rakan Cop Selangor di talian 03-2052 9999 untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: