14 April 2011

Negara Barat, Arab mahu Gaddafi berundur

10 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

DOHA: Kumpulan negara Barat dan Arab untuk pertama kali menggesa Muammar Gaddafi berundur tetapi negara anggota NATO bercanggah pendapat berhubung gesaan ditingkatkan serangan udara bagi menggulingkan beliau.

Pendirian itu satu kemenangan moral bagi Britain dan Perancis yang mengetuai serangan udara dan menggesa perubahan rejim di Libya.

"Gaddafi dan rejimnya sudah kehilangan semua hak dan perlu berundur bagi membolehkan rakyat Libya menentukan masa depan mereka," menurut pernyataan terakhir mesyuarat bersama kumpulan negara Eropah, Liga Arab, Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Doha yang diperoleh Reuters.

Kumpulan itu juga bersetuju memberikan "bantuan kebendaan" kepada pemberontak Libya.

Walaupun pernyataan itu tidak menyatakan butirannya, diplomat berkata sebilangan negara mungkin menafsirkannya sebagai pembekalan senjata. - Reuters

Tiada ulasan: