14 April 2011

Sebulan Selepas Bencana Berganda di Jepun

10 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



Gempa berkekuatan 6.6 pada skala Richter dilaporkan menggegar Jepun sekali lagi, kelmarin, iaitu sebulan selepas bencana berganda melanda negara itu yang turut menyebabkan kemusnahan harta-benda yang amat dahsyat pada 11 Mac lalu. 

Ia sekali lagi mencetuskan rasa cemas penduduk di pantai timur laut negara itu apabila gempa itu turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan dan menyebabkan kejadian tanah runtuh serta mengorbankan tiga mangsa. 

Laporan yang dikeluarkan menyatakan keadaan tanah mengalami tekanan kuat semasa kejadian gempa itu, kelmarin. 

Bagaimanapun, kesan kemusnahan di loji Fukushima dalam kejadian gempa terbaru itu, masih samar-samar kerana pengendali loji tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. 

Terdahulu, gempa dahsyat berkekuatan 9.0 pada skala Ricther menggegar kawasan timur laut Jepun pada 11 Mac lalu, dan mencetuskan tsunami pada ketinggian 23 meter yang turut membadai beberapa kawasan dan bandar pesisir pantai serta menyebabkan ribuan penduduk terkorban. 

Suasana suram dan sedih menyelubungi di beberapa bandar pelabuhan dan kawasan yang musnah, iaitu sebulan selepas kejadian bencana berganda tersebut. 

Ahli keluarga dan teman rapat turut memberi penghormatan dan memperingati mangsa terkorban serta yang dilaporkan masih hilang, kelmarin. 

Lebih daripada 13,000 orang disahkan terkorban, 14,000 orang lagi dilaporkan masih hilang manakala 150,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menginap di pusat penempatan sementara yang disediakan oleh kerajaan. 

Selain itu, usaha memindahkan penduduk di kawasan sepanjang ratusan kilometer di sepanjang pesisir pantai turut dilakukan. 

Kerajaan Jepun menganggarkan jumlah kemusnahan mencecah sehingga AS$310 bilion (RM940 bilion). 

Tiada ulasan: