14 April 2011

Perdana Menteri Malaysia atau Perdana Menteri BN?

10 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri.

“Perdana Menteri ialah menteri yang paling kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana menteri biasanya merupakan ahli politik, ini tidak semestinya.

Dalam banyak sistem, Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri merupakan pengerusi kabinet, tetapi dalam sebilangan sistem yang kecil, khususnya dalam sistem kerajaan separa presiden, perdana menteri ialah pegawai yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan awam dan melaksanakan arahan-arahan Presiden”

Perdana Menteri Malaysia atau Perdana Menteri BN?

Di Malaysia setiap kali ada pilihanraya hampir semua menteri-menteri kebinet turun padang berkempen untuk parti masing-masing menggunakan kedudukan mereka sebagai menteri dan menggunakan jentera kerajaan untuk melicinkan kempen mereka. Sedarkah kita semua bahawa ini adalah salah satu penyalahgunaan kuasa mereka dengan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen untuk parti mereka sedangkan mereka yang dilantik sebagai menteri tidak seharusnya berkempen menggunakan kedudukan dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti masing-masing. Cuma di Malaysia saja perkara semacam ini berlaku secara terang-terangan sedangkan pihak lawan (pembangkang) langsung disekat menggunakan kemudahan awam.

Cuba kita berfikir sejenak, patutkah seorang perdana menteri sebuah Negara berkempen menggunakan kedudukannya serta jentera kerajaan hanya untuk kepentingan partinya sahaja sedangkan dia adalah perdana menteri untuk semua rakyat tanpa mengira apa bangsa,agama dan fahaman politik. Disebabkan beliau menggunakan kedudukan dan jentera kerajaan untuk kepentingan partinya maka kita sebagai rakyat terasa bahawa perdana menteri berlaku tidak adil untuk rakyat yang tidak menyokong partinya. Kita seharusnya bebas memilih parti mana yang kita suka.

Kalau perdana menteri sudah secara terang-terangan menyalahguna kuasanya maka ini sudah jelas yang kita sudah tidak mempunyai perdana menteri untuk semua rakyat tetapi yang ada hanya seorang perdana menteri untuk satu parti sahaja.

Kita boleh simpulkan bahawa perdana menteri di Negara Malaysia ini semacam tidak ujud kerana yang ada hanya perdana menteri untuk satu parti sahaja. Kalau perdana menteri benar-benar untuk semua rakyat beliau kena asingkan tugas perdana menteri dengan tugas sebagai president parti dan jangan sekali-kali menggunakan hak rakyat iaitu jentera kerajaan apabila beliau hendak berkempen untuk partinya. Kalau ada perdana menteri yang betul-betul dapat membezakan tugas serta perananya sebagai perdana menteri sebuah Negara barulah kita rakyat Malaysia dapat menerima beliau sebagai perdana menteri Malaysia untuk semua rakyat bukan hanya untuk parti mereka saja.

Diharap rakyat Malaysia sedar yang selama ini kita telah diperalatkan atau diperbodohkan oleh pihak BN yang mengatakan bahawa mereka berkuasa menggunakan apa saja jentera kerajaan untuk kepentingan parti mereka. Selepas saja parliament atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan semua menteri-menteri tidak lagi dibenar menggunakan kedudukan dan jentera kerajaan untuk berkempen bagi parti mereka dan kalau mereka hendak berkempen juga gunakan jentera parti mereka masing-masing. Sebab semasa parliament atau DUN dibubarkan parti melawan parti bukan parti melawan pemerintah.

Di masa itulah rakyat diberi hak untuk memilih dan mengundi sesiapa saja yang difikir layak untuk mewakili mereka sebagai pemerintah selepas Parliament atau DUN dibubarkan. Dimanakah peranan SPR dalam hal ini?

Jofri Jaraiee
YDP PAS Miri merangkap Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ala..kalau anwar jd pm pon camtu gak..takde beza..standard la org melayu..lebih ke kaum sendiri..hang pikiaq betoi2 no..