06 April 2011

Tip Tambahan Untuk Membina Pantun

02 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Dalam buku yang pertama, saya telah memberikan teknik penciptaan pantun untuk seseorang pengacara atau bakal pengacara atau sesiapa pun yang ditugaskan untuk membuat teks pengacara mencipta pantun sendiri agar acara dan pantun yang dilafazkan tidak lari daripada maksud yang ingin disampaikan. Namun, mungkin ada antara kita yang masih terkial-kial menghasilkan pantun yang sesuai untuk majlis yang akan dikendalikan atau mencipta pantun untuk teks ucapan atau pengucapan awam yang lain. Oleh itu, dalam bahagian ini, akan diberikan sedikit panduan tentang cara menajamkan kemahiran mencipta pantun dan pemilihan perkataan yang sesuai dan tepat dalam penciptaan pantun.

3.1 Petua asas menajamkan kemahiran

Terdapat beberapa cara untuk menajamkan kemahiran mencipta pantun. Untuk menajamkan kemahiran mencipta pantun, kita perlu:

a. Banyak membaca pantun sedia ada

Dalam pasaran sekarang ini terdapat pelbagai buku pantun yang boleh dibeli. Anda hanya perlu mengeluarkan sedikit wang untuk mendapatkan buku pantun tersebut. Dengan adanya pantun tersebut, anda dapat melihat cara penciptaan pantun yang dibuat oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.

b. Buat latihan penciptaan pantun

Setelah anda membaca buku pantun sedia ada dan melihat cara penciptaannya, anda boleh memulakan latihan mencipta pantun.

Pada peringkat awal, anda boleh menggunakan pembayang atau maksud pantun lama dan digantikan dengan idea anda sendiri. Setelah anda mampu mengolah pantun tersebut, anda boleh mula mencipta pantun anda sepenuhnya. Anda boleh menggunakan teknik penciptaan pantun yang telah diterangkan dalam buku yang terdahulu. Yang perlu anda ingat bahawa anda perlu mematuhi ciri-ciri pantun empat kerat terutama dari segi jumlah perkata-an, suku kata dan rima akhir pantun. Selain itu, anda juga perlu menetapkan maksud pantun terlebih dahulu sebelum mencipta pembayang-nya. Dengan melakukan latihan yang kerap, anda mampu mencipta pantun anda sendiri.

c. Meningkatkan pengetahuan dan pengalaman tentang budaya Melayu

Seseorang yang ingin mencipta pantun perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang ketamadunan manusia. Hal ini bermaksud, sesiapa sahaja yang ingin mencipta pantun perlu meningkatkan pengetahuan tentang nama tempat, pantai, sungai, nama tokoh sejarah, nama makanan, jenis senjata, peralatan yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu dan sebagainya. Hal ini bagi memudahkan kita mencipta pembayang untuk maksud pantun yang dicipta.

d. Meningkatkan kepekaan terhadap alam sekitar

Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu bukan sahaja mengetahui nama-nama pokok, bunga, buah-buahan, burung, unggas dan sebagainya tetapi turut mengetahui sifat-sifat binatang, bau-bauan dan warna bunga dan pelbagai sifat unggas serta mengenali musim-musim tertentu. Keakraban masyarakat Melayu dengan alam sekitar menjadikan pantun yang ada begitu indah. Oleh itu, untuk mencipta pantun, kita perlu mempunyai kepekaan terhadap alam sekitar.

Mungkin amat sukar bagi kita sekarang ini terutama yang tinggal di bandar untuk memahami keadaan yang berlaku pada musim-musim tertentu. Jadi, cukuplah sekiranya kita mengetahui nama-nama pokok, bunga, buah-buahan dan burung yang terdapat di sekitar kita. Jadi, untuk mengetahui nama-nama pokok, bunga, buah-buahan dan burung, kita perlu banyak membaca buku. Selain membaca buku, kita juga boleh melayari Internet untuk mencari maklumat tersebut.

Artikel di atas dipetik daripada buku 518 Pantun Pelbagai Majlis Untuk Teks Pengacara & Teks Ucapan. Maklumat lanjut tentang buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my

Tiada ulasan: