21 Mei 2011

Bank Muamalat: 'Gabung' bukan menyelamat

18 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Bank Muamalat hari ini menafikan cadangan penggabungan bank berkenaan dengan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) sebagai sebagai satu tindakan menyelamatkan syarikat menggunakan dana awam. 

Dalam satu kenyataan media, Ketua, Bahagian Komunikasi Korporat, Bank Muamalat, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata bank itu telah meraih keuntungan sebanyak RM143.7 juta sebelum cukai untuk sembilan bulan pertama sehingga Disember tahun lalu.

“Jumlah ini merupakan satu rekod keuntungan yang tinggi berbanding dengan keuntungan 15 bulan sebelumnya yang berjumlah RM142.1 juta.

“Pulangan kepada pemegang saham berjumlah 9.8 peratus. Sementara itu, kadar nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) adalah 18.4 peratus, iaitu lebih tinggi daripada kadar purata industri, dan statistik pembiayaan tidak berbayar (NPF) pula adalah 2 peratus.

“Jelas di sini menunjukkan bahawa tidak ada “bailout” seperti yang telah digambarkan,” katanya.
Khamis lalu, naib presiden PAS Salahuddin Ayub pada sidang akhbarnya mempersoalkan kewajaran cadangan penggabungan antara Bank Muamalat dan BIMB.

Dakwanya beliau bimbang terdapat tangan-tangan tersembunyi di sebalik arahan BIMB untuk membeli Bank Muamalat daripada DRB-Hicom, yang memiliki 70 peratus bank berkenaan manakala Khazanah, pula memiliki 30 peratus lagi.

Tidak perlu menulis

Raja Sa'adi juga berkata Salahuddin tidak perlu menulis kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mendapatkan penyata kewangan bank Bank Muamalat kerana pihaknya dengan besar hati akan membekalkannya.

“Pihak Bank Muamalat sentiasa telus dan telah memaparkan kedudukan kewangannya untuk sembilan bulan pertama sehingga Disember di laman web www.muamalat.com.my,” katanya lagi.

Salahuddin sebelum ini juga berkata "terdapat sesuatu yang aneh dalam urusniaga itu yang tidak membawa manfaat kepada BIMB”.

Menurutnya, meskipun tiada bukti bagi menunjukkan tindakan itu bagi menyelamatkan Bank Muamalat namun keputusan untuk bergabung berkenaan adalah petanda yang jelas.

"Tidak ada bank yang stabil akan mahu bergabung dan hilang identitinya,” hujahnya.

BIMB mempunyai 115 cawangan di seluruh negara dengan 600 mesin auto-teller.

Bagaimanapun dalam kenyataan medianya, Raja Sa'adi tidak menjelaskan rasional cadangan penggabungan berkenaan.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Marilah kita bersama menutup akuan kita di bank Islam bila pengabungan bermula.