21 Mei 2011

Projek IC: Saya TPM tapi tak dirujuk, kata Anwar

18 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas semula satu projek rahsia bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri berhubung pendaftaran warga asing sebagai warga Malaysia – dikatakan sebagai penyumbang utama kepada peluasan Umno di Sabah.

Namun, Anwar menegaskan bahawa beliau bukanlah salah seorang daripada individu yang mengetahui secara khusus mengenai projek rahsia berkenaan walaupun beliau merupakan timbalan perdana menteri pada ketika itu.

"Saya telah menjelaskan perkara ini dan ia tidak dipertikaikan. Ia merupakan operasi khas di bawah JPM dan Kementerian Dalam Negeri, pada waktu itu berada bawah (Tun Dr) Mahathir (Mohamed) dan Megat Junid (Megat Ayub).

"(Operasinya) ada sistem dan jumlah (individu atau peruntukan) tidak pernah dirujuk kepada kabinet atau majlis tertinggi Umno atau kepada biro politik," kata ketua umum PKR itu dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini pada minggu lalu.

Anwar bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak mendapat maklumat secara langsung berhubung projek berkenaan dan hanya mengetahui mengenainya daripada sumber sekunder.

"Saya merupakan timbalan presiden Umno, tetapi tidak pernah menjadi penandatangan kepada apa-apa cek dalam Umno. Anda boleh bayangkan?

"Pada waktu itu saya bukan sekadar timbalan biasa, saya agak berpengaruh. Tapi perkara tertentu (seperti) keselamatan dalam negeri, operasi ini, duit – itu adalah (tanggungjawab) Mahathir dan (Tun) Daim (Zainuddin)," katanya lagi.

Operasi rahsia

Anwar sebelum ini turut terpalit dengan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam operasi yang antara lainnya pernah didokumentasikan dalam buku Lest We Forget: Security and Sovereignty of Sabah tulisan bekas pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah, Dr Chong Eng Leong.

Mahathir telah menafikan dakwaan berkenaan manakala satu inkuiri pada 1997 oleh satu jawatankuasa terpilih Parlimen ke atas sejumlah penjawat awam yang ditahan bawah ISA tidak pernah didedahkan kepada umum.

Tanda tanya berhubung 'Projek IC' ini timbul semula apabila PKR menimbulkan dakwaan pada awal bulan ini bahawa Umno Hulu Selangor telah meminta KDN memberikan kerakyatan kepada 2,000 orang warga asing.

Bagaimanapun, Anwar berkata warga asing berkenaan sepatutnya diberikan kerakyatan sekiranya golongan itu mencapai kelayakan dan melalui proses yang sepatutnya.

"Tapi kenapa ia perlu jadi operasi rahsia. Kenapa ia tidak boleh dijalankan secara telus? Maksud saya, jika mereka sebelum ini warga Indonesia yang telah tinggal di sini selama 20, 30 tahun, saya tidak nampak sebab mengapa kita patut halang.

"Saya tidak memegang pandangan ekstrem seperti sesetengah rakan kita di Sabah," katanya lagi yang menjangkakan kos operasi di negeri berkenaan mencecah angka "ratusan juta ringgit."

Tambahnya lagi, sekiranya usaha yang sama dijalankan di seluruh negara, ia akan memakan belanja tambahan sebanyak beberapa ratus juta ringgit.

"(Adakah) sukarelawan Umno yang buat begini? Tidak. (Ia melibatkan) syarikat-syarikat besar," katanya yang berpendapat isu tersebut tidak akan disiasat sepenuhnya kerana ia mungkin turut melibatkan kementerian dalam negeri.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hancus malaysia..memang ramai rakyat yg tahu akan hal ini di sabah bila mrk dapat ic malaysia dgn mudah dari JPN maka senanglah mrk memohon apa2 sj dari k'jaan spt lesen2 penjaja dll lama kelamaan rakyat sendiri merempat di bumi sendiri, tp syg nya mana pergi ketua2 agensi k'jaan dan universiti spt VC dan NC mengapa tak komen, jawapan mrk senang aje ..apa bukti nya? secara halus jika direnungkan dalam2 siapakah PENGKHIANAT NEGARA SEBENAR NYA..jawapan ada pada rakyat malaysia sendiri kecuali pencacai2 umno/beend.