19 Mei 2011

Bekas Ketua Polis mahu suruhanjaya siasat Ghani Patail dan Musa Hasan

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan kerana dipercayai menggugat kredibiliti institusi pendakwaan dan penyiasatan negara ini.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim berpendapat, kesalahan mereka secara bersama atau sebaliknya memberi kesan serius kepada sistem keadilan jenayah negara.

“Tindakan mereka telah memusnahkan keyakinan rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya menyarankan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya menubuhkan suruhanjaya atau tribunal bagi menyiasat dakwaan ini dengan telus dan adil,” katanya dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam.

Katanya, masyarakat kini semakin lantang mengkritik PDRM dalam menangani isu video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah, mereka secara terbuka dan berani mengeluarkan kata lucah terhadap pucuk pimpinan PDRM.

“Ini kerana berdasarkan tindakan dan kenyataan yang dibuat polis dengan diperbesarkan oleh media, kita tidak dapat menyalahkan rakyat jika berpendirian sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, PDRM kini terlalu menurut kerenah Abdul Ghani yang dikhuatiri sejarah lama akan berulang lagi.

“Saya tidak gentar untuk menyatakan kerana terlalu melayan kerenah dan bergantung kepada Abdul Ghani menyebabkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor masuk penjara selama dua bulan dan membayar denda sebanyak RM2,000,” katanya.

Menurutnya, tiada sekatan masa untuk sesuatu siasatan kes itu diteruskan dengan terperinci. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setuju 200% kerajaan tubuhkan suruhanjaya di raja siasat mrk berdua ni yg terlalu byk menyalahgunakan kuasa sehingga institusi PDRM dan Jabatan Peguam Negara begitu jijik di mata rakyat, rakyat memang meluat kpd kedua2 agensi ni krn tiada keadilan KAKIKI yg akan diperolehi rakyat lebih2 lg kalau melibatkan manusia yg bernama anwar...perghhh apa lah malaysia ku ni,Allah swt memberikan mrk kuasa utk memikul AMANAH Allah tp sebalik nya berlaku, lupakah mrk bahawa apa yg mrk lakukan dipentas dunia ini akan di tanya oleh ALLAH SWT DI AKHIRAT KELAK, tak takut kah akan seksaan Allah nanti boleh kah mrk menahan seksaan yg tiada siapa sanggup utk memikul nya walaupun sebuah gunung yg kita lihat keras dan kukuh tp api Neraka membakar tanpa belas kesihan..