20 Mei 2011

Nasruddin dijangka menang tanpa bertanding

17 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan (gambar) dijangka mengekalkan jawatannya selepas tiga lagi calon lain membayangkan tidak akan bertanding jawatan tersebut.

Terbaru, calon terakhir yang ditunggu membuat keputusan, iaitu ketua penerangan dewan itu, Suhaizan Kaiat, juga mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tersebut.

"Setelah mempertimbang pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh ahli-ahli PAS seluruh negara maka saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding secara harmoni dan penuh ukhuwah jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan AJK PAS Pusat," katanya yang membuat pengumuman melalui blognya awal pagi ini.

Semalam, dua lagi calon iaitu timbalan ketua pemuda PAS sekarang ini, Azman Shapawi Abd Rani dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Firdaus Jaafar, telah menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan tersebut.

Azman seperti laporan Harakahdaily semalam berkata, beliau tidak akan bertanding jawatan ketua pemuda sekiranya Nasruddin berhasrat mempertahankan jawatan yang disandangnya kini itu.

Firdaus pula semalam memaklumkan hanya akan bertanding merebut kerusi nombor dua dewan itu sekaligus menolak untuk bertanding ketua pemuda.

Dengan pengumuman Suhaizan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor itu, bermakna sah Nasruddin mempunyai laluan selesa untuk mengekalkan jawatan yang sedang disandangnya.

Bagaimanapun keputusan rasmi calon yang akan bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu berkaitan pemilihan yang akan diadakan awal bulan depan.

Mengulas pertemuan malam tadi itu, Nasruddin ketika dihubungi berkata, pertemuan itu tidak menjurus kepada perbincangan untuk berkompromi terhadap mana-mana jawatan yang dipertandingkan.

"Malam tadi kita membuat keputusan terbuka.

"Kita serah kepada semua perwakilan untuk menentukan siapa yang mereka mahu pilih.

"Dalam masa yang sama, semua calon juga bebas sama ada mahu bertanding atau menarik diri,"katanya.

Keputusan itu ujarnya lebih baik sebagai menghormati kepercayaan ahli akar umbi yang telah membuat pencalonan.

Dalam pada itu, mesyuarat khas malam tadi turut memaklumkan bahawa perasmian muktamar dewan itu akan diadakan pada 1 Jun di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Manakala muktamar penuh akan diadakan pada keesokannya.

Berikut ialah senarai penuh calon layak bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Azman Shapawi Abd Rani, ustaz
2. Mohd Firdaus Jaafar, ustaz YB
3. Nasruddin Hassan, usaz
4. Suhaizan Kaiat

Timbalan Ketua

1. Ahmad Sabki
2. Azman Shafawi
3. Firdaus Jaafar, YB
4. Mohd Nor Hamzah, YB
5. Nasaruddin Hassan
6. Nik Abduh Nik Aziz
7. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
8. Riduan Mohd Nor
9. Suhaizan Kaiat

Naib Ketua

1. Azman Shafawi, Ustaz
2. Firdaus Jaafar, YB
3. Kamaruzaman Mohamad
4. Khairi Faizi Kamil
5. Mohd Nor Hamzah
6. Mohd Sany Hamzan
7. Nasir Zakaria, YB
8. Nik Abduh Nik Aziz
9. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
10. Riduan Mohd Nor
11. Sabki Yusof
12. Suhaizan Kaiat

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah

Tiada ulasan: