21 Jun 2011

Ibu dalam pantang bersama bayi berusia 34 hari nyaris maut dalam kebakaran

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu yang masih dalam pantang bersama bayinya berusia 34 hari serta tiga anaknya nyaris maut dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kampung Kubang Lembek, Manir di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi tadi, Rozita Abdul Rahim, 29, sedang tidur bersama bayinya itu dan anaknya yang lain yang berusia lapan dan sembilan tahun sebelum dikejutkan oleh suaminya untuk menyelamatkan diri.

Suaminya, Hamdan Hussain, 37, berkata, semasa kejadian dia mendengar suara bising jiran-jiran mereka di luar rumah di samping terdengar bunyi letupan dari bahagian atas rumah mereka.

"Mulanya saya ingat ada orang bergaduh. Saya naik ke tingkat atas rumah saya untuk melihat tetapi terlihat api yang sedang marak. Saya terus mengejutkan isteri dan anak-anak saya untuk menyelamatkan diri di luar rumah kedai itu.

"Selepas berjaya menyelamatkan mereka, saya bergegas pula masuk ke dalam dan berjaya menyelamatkan dokumen penting," katanya.

Penolong Penguasa Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Roslan Mat Din berkata, tiga jentera bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 3.50 pagi.

"Bomba yang tiba ke tempat kejadian pada pukul 4.20 pagi dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000.

Hampir 80 peratus rumah kedai lima pintu yang didiami tiga keluarga itu musnah termasuk sebuah premis pemprosesan minuman berkabornat dan premis alat ganti barangan motosikal.

sinarharian/-

Tiada ulasan: