21 Jun 2011

NATO mengaku sebabkan kematian penduduk awam Libya

19 Rejab 1432H. [MOD] -

BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), semalam buat pertama kali mengaku bahawa serangan bom yang dilancarkannya di Tripoli kelmarin menyebabkan kematian penduduk awam.

Serangan itu juga berlaku dalam tempoh 24 jam selepas NATO mengumumkan pesawatnya tersilap membedil kedudukan pemberontak yang memerangi rejim Muammar Gaddafi.

NATO dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab menyebabkan kematian orang awam dalam satu pengeboman di Tripoli yang meragut sembilan nyawa, termasuk dua kanak-kanak kecil.

"NATO kesal dengan kehilangan nyawa penduduk awam.

"Meskipun kami masih menyiasat punca kejadian ini, tanda-tanda menunjukkan kegagalan sistem senjata mungkin menyebabkan insiden ini," kata Komander NATO bagi misi di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bouchard.

Kematian penduduk awam itu akibat serangan NATO, adalah yang pertama disahkan dan ia memalukan perikatan tersebut kerana kempen pengebomannya di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi.

Insiden itu juga berlaku sehari selepas NATO mengaku pesawat perangnya tersilap membedil sepasukan tentera pemberontak di kawasan Brega pada Khamis lalu, antara beberapa serangan yang tersasar.

Selepas menyiasat dakwaan kerajaan Gaddafi mengenai kematian orang awam, NATO berkata, sistem senjatanya dipercayai gagal mengenai sasaran yang dimaksudkan.

Wartawan dibawa ke daerah Al-Arada di Tripoli sebelum pukul 1 pagi semalam (7 pagi semalam waktu Malaysia) untuk melihat pasukan penyelamat dan orang awam bertungkus-lumus mencari mangsa di celah-celah runtuhan sebuah blok rumah dua tingkat.

Media kemudian dibawa ke sebuah hospital di Tripoli dan mayat seorang wanita dan dua kanak-kanak kecil, dikatakan tiga beranak yang maut dalam serangan itu, ditunjukkan kepada mereka. - AFP

Tiada ulasan: