07 Julai 2011

22 terbunuh di Hama

5 Syaaban 1432H. [MOD] -



DAMSYIK: Tentera Syria didakwa membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dalam serangan terhadap penunjuk perasaan di bandar Hama, semalam.

Pertubuhan Hak Asasi Kebangsaan berkata, lebih 80 orang turut cedera apabila tentera menyerbu sekatan jalan raya yang didirikan penduduk berikutan tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran di bandar berkenaan Jumaat lalu.

“Mangsa yang cedera dirawat di dua hospital di Hama,” kata Pengerusi kumpulan itu, Ammar Qurabi kepada wartawan di Nicosia.

Menurutnya, tentera juga memasuki Hospital Al-Hurani.

“Sejumlah besar penduduk Hama melarikan diri sama ada ke bandar Al-Salamiya yang terletak berhampiran atau ke arah Damsyik,” kata Ammar.

Pertubuhan hak asasi yang berpangkalan di London, Amnesty International pula menuduh pihak berkuasa Syria melakukan jenayah terhadap kemanusiaan ketika menangani tunjuk perasaan antikerajaan yang melanda negara itu sejak pertengahan Mac lalu.

Dalam pada itu, pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, satu mayat mangsa yang terbunuh dalam kejadian semalam dicampakkan ke dalam Sungai Orontes di Hama, yang terkenal kerana kincir air purba.

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun adalah antara yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan, kata seorang aktivis yang dihubungi menerusi telefon dari Nicosia. “Penduduk Hama bersedia untuk mati bagi mempertahankan bandar mereka jika perlu daripada membenarkan tentera memasukinya,” kata Rami Abdel Rahman, ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpusat di London.

Kira-kira 500,000 orang menunjuk perasaan menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad di bandar berkenaan Jumaat lalu, tempat kira-kira 20,000 orang terbunuh apabila tentera kerajaan mematahkan revolusi Islam ketika pemerintahan bapa presiden itu, Hafez al-Assad pada 1982. - AFP

Tiada ulasan: