07 Julai 2011

24 korban konflik etnik, politik di Karachi

5 Syaaban 1432H. [MOD] -



KARACHI: Sekurang-kurangnya 24 terbunuh akibat ketegangan politik dan etnik di bandar paling besar di Pakistan, Karachi, kata pegawai rasmi semalam. 

Hubungan tegang berlaku antara Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) dan Parti Nasional Awami (ANP), yang mewakili pelbagai etnik dan mempunyai fahaman politik berbeza. Pembunuhan didakwa dilakukan penyokong setia mereka.

“Kita menerima laporan sekurang-kurang 24 jadi mangsa pembunuhan sejak petang kelmarin,” kata pegawai kementerian dalam negeri wilayah selatan Sindh, Sharfuddin Memon.

Beliau berkata, polis sudah menahan 12 lelaki dengan senjata dan peluru yang didakwa terbabit dalam pembunuhan itu. 

Pakar bedah, Hamid Parhiar, berkata hospital bandar itu menerima 15 mayat. 

Seorang pegawai keselamatan pula berkata, ketegangan berlaku di bandar barat yang berjiran iaitu Orangi dan Qasba, tempat lelaki bersenjata melepaskan tembakan bertalu-talu, menyebabkan jalan lengang dan kedai ditutup. 

“Polis dan tentera berkawal di bandar yang huru-hara itu untuk mengelak keganasan lebih teruk,” kata Memon. 
Polis berkata, lima mayat ditemui di dalam bas di timur kejiranan Gulshan-e-Iqbal. 

“Kami nampak bas diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dan mendapati ada lima mayat ditembak mati. Identiti mereka belum dikenal pasti,” kata pegawai polis, Mohammad Hashim. 

Kedua-dua musuh parti politik mendakwa mereka yang terbunuh termasuk aktivis dan penyokong. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan berkata, 490 maut dalam kejadian pembunuhan terancang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Tahun lalu, 748 terbunuh. Jumlah pada 2009 adalah 272 orang. 

Karachi antara bandar raya di Pakistan yang kerap berdepan kejadian pembunuhan akibat perbezaan mazhab, jenayah dan penculikan. MQM baru-baru ini keluar perikatan diketuai Parti Rakyat Pakistan dengan dua jawatan utama disandang pemimpin etnik Sindh. – AFP 

Tiada ulasan: