11 Julai 2011

Gempa bumi kuat landa Jepun

8 Syaaban 1432H. [MOD] -Loji nuklear Fukushima terpaksa dikosongkan ekoran amaran tsunami

TOKYO: Gempa bumi kuat menggegarkan timur laut Jepun semalam, menyebabkan loji nuklear yang terjejas, Fukushima terpaksa dikosongkan tetapi tiada tanda kemusnahan berlaku di loji itu atau laporan kematian di sepanjang pesisir pantai.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluar amaran tsunami selepas gempa dengan magnitud 7.1 melanda di kawasan sama yang musnah akibat gempa bumi kuat dan tsunami pada 11 Mac tetapi menarik amaran itu kembali.
Pegawai rasmi berkata ombak setinggi 10 sentimeter direkodkan. “Gegaran berlaku lebih lama dan kuat,” kata seorang pegawai kerajaan di bandar Iwaki, Fukushima memberitahu penyiar NHk.

“Rak buku bergoyang tetapi tiada yang jatuh, kami menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri pantai,” katanya.

Sekurang-kurangnya 21,000 orang terbunuh atau hilang dalam malapetaka Mac lalu yang turut menjejaskan bekalan tenaga ke loji nuklear Fukushima.

Tiada laporan kecederaan atau kemusnahan akibat gempa bumi itu setakat ini. Agensi kaji cuaca berkata gempa bumi berlakui pada kedalaman 10 kilometer di luar timur laut pantai negara itu sebelum jam 10 pagi waktu tempatan.

Pegawai syarikat pengendali loji nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power, berkata pekerja di loji berkenaan sudah diarahkan keluar dan pergi ke kawasan tinggi.

Beliau berkata, tiada kemusnahan di loji di mana pekerja bekerja keras membina sistem penyejukan untuk menstabilkan reaktor.

Syarikat itu berkata, walaupun dengan pengosongan itu, air masih dipam masuk ke rektor dan nitrogen turut dimasukkan ke dalam dua rektor untuk mengelakkan letupan hidrogen.

Akhbar Japan Today yang memetik agensi berita Kyodo melaporkan rombakan loji nuklear Fukushima Daiichi termasuk mengeluarkan bahan bakar nuklear, meruntuhkan reaktor dan bangunan di dalam loji itu, dijangka mengambil masa beberapa dekad. – Reuters/ Agensi

Tiada ulasan: