11 Julai 2011

Temui rakan mati di belakang pasar

8 Syaaban 1432H. [MOD] -

Muka, kepala mangsa berlumuran darah

ALOR GAJAH: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan pada muka dan kepalanya dipercayai dibunuh dalam sebuah pondok di belakang Pasar Awam Masjid Tanah, dekat sini, malam kelmarin.

Mayat Nasafri Ismail, 41, ditemui terbaring oleh pencari barang terpakai yang juga rakan karibnya pada jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit dipercayai meninggal dunia akibat dipukul menggunakan objek tumpul di kepalanya.

“Setakat ini, kita belum mengenal pasti motif pembunuhan dan kejadian itu tiada kaitan dengan samun kerana semua barang berharga termasuk dompet dan jam tangan mangsa tidak diambil.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, pencari barang terpakai dikenali sebagai Zali, 50-an, berkata ketika tiba di pondok itu, be-liau pada mulanya menyangka rakannya yang dipanggil Pahang atau Bai itu sedang tidur.

“Dia terbaring di atas kotak dan kertas yang saya kumpulkan siang tadi (kelmarin) dengan kedua-dua seliparnya dijadikan bantal.
“Saya kemudian mencuit kakinya tetapi dia tidak bergerak. Selepas itu saya menyalakan pemetik api dan terkejut apabila melihat muka dan kepala mangsa berlumuran darah,” katanya.

Zali berkata, beliau segera memberitahu seorang lagi rakannya yang kebetulan berada di kawasan kejadian sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat terbabit.

berita harian/-

Tiada ulasan: