08 Ogos 2011

Bonus setengah bulan untuk penjawat awam, RM500 untuk pesara

09 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajian penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," katanya.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan membabitkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion. - BERNAMA

Ulasan :

Tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang melakukan dasar yang perihatin kepada rakyat dengan memahami keperluan semasa kakitangan awam yang memerlukan perhatian hasil dari kerja gigih yang diberikan untuk negara selama ini.

Selain itu jangan lupa kepada mereka yang bukan kakitangan kerajaan yang terus dihimpit masalah dan kemiskinan kesan dari kenaikan harga barang yang akan berlaku setiap kali kenaikan gaji atau bonus dikeluarkan.

Saya juga menjangkakan inilah tanda-tanda yang agak jelas bahawa PRU 13 akan diadakan dalam masa yang tersekat September atau Oktober 2011.

Tiada ulasan: