02 Ogos 2011

Kemelut Dawama bukti penswastaan BN gagal

2 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Tindakan Dawama Sdn Bhd memberikan notis cuti tanpa gaji kepada 380 pekerjanya ekoran masalah kewangan membuktikan projek penswastaan kerajaan BN menemui kegagalan.

Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam notisnya kepada pekerja minggu lalu mendakwa tindakan itu diambil kerana pertikaian dengan DBP, agensi di bawah Kementerian Pelajaran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mengecam tindakan Dawama itu berkata, kerajaan harus mengkaji semula projek penswastaan dan menghentikan penswastaan yang melanggar prinsip perniagaan.

"Banyak projek penswastaan yang diterajui oleh kerajaan pusat menemui kegagalan dan ini (Dawama) salah satu contoh penswastaan yang tidak mematuhi prinsip perniagaan yang akhirnya akan membebankan pekerja.

"Projek penswastaan harus dihentikan dan dikaji semula kerana sewajarnya ia memberikan perkhidmatan yang lebih baik, menjamin kebajikan pekerja, mengangkat taraf sosio ekonomi, tapi apa yang berlaku projek penswastaan hanya menguntungkan kroni kerajaan tapi pekerja dinafikan hak mereka," kata beliau kepada pemberita di hadapan ibu pejabat Dawama, Hulu Klang selepas menemui pekerja Dawama yang diarah bercuti berkuat kuasa semalam.

Beliau juga berkata, sekiranya kemelut ini tidak selesai dalam masa terdekat, Pakatan Rakyat akan membawa isu ini ke sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

"Saya akna meneliti memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan akan bawa ke Parlimen.

"Kita nak tahu betul ke Dawama menghadapi masalajh kewangan dan minta kementerian terbabit bentangkan akuan Dawama di Parlimen," kata beliau yang juga ahli Parlimen Gombak.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd, Zainal Awit (kanan) pihaknya telah empat kali menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun belum ada sebarang maklum balas.

Bercakap pada sidang media sama, beliau sekali lagi merayu Muhyiddin mengambil tindakan segara bagi menyelesaikan kemelut yang melanda di antara Dawama dan DBP.

"Kami para pekerja berasa tertekan dengan tindakan pihak Dawama memberi cuti tanpa gaji kepada kami dan bayangkan bagaimana anak-anak kami hendak menghadapi bulan Ramadhan dan hari raya akan datang.

"Kami merayu kepada pihak menteri supaya serius dan tolonglah campur tangan dalam masalah ini," katanya.

Ekoran tiada respons daripada pihak Muhyiddin, Pengarah Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani berkata beliau akan mengetuai beberapa wakil kesatuan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di bawah Kementerian Sumber Manusia hari ini.

Ini kerana katanya Dawama tiada hak memberikan notis bercuti tanpa gaji kepada pekerja sebelum melunaskan bayaran tertunggak.

Difahamkan, sudah beberapa bulan Dawama tidak melaksanakan potongan Socso dan EPF kepada pekerjanya.

"Tindakan ini satu pencabulan undang-undang. Pemotongan Socso dan EPF yang tidak dilunaskan telah langgar seksyen 24 Akta Kerja 1955 jelas boleh dihukum.

"Saya mohon pihak berwajib menghukum syarikat ini kerana mengkhianati undang-undang negara.

"Saya terkejut pelangaran ini dibuat secara biadap dan tidak boleh berlaku dalam seksyen 10 Akta Kerja 1955," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Langat.

Sehubungan itu, beliau bersama beberapa wakil kesatuan ke Putrajaya sejurus sidang media tadi bagi mencari jalan penyelesaian.

Sementarai itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang turut bersama mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tampil membela kaum wanita yang turut terjejas akibat tindakan Dawama itu.

"Sekurang-kurangnya 100 pekerja wanita di sini. Saya desak Sharizat yang kononnya sangat menyokong penglibatan wanita dalam bidang ekonomi sebanyak 30 peratus tampil dan saya nak tanya apakah pembelaan yang beliau berikan kepada pekerja wanita ini?" soalnya yang juga ahli Parlimen Ampang.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Unknown berkata...

cetak dan edar buku DBP? inilah kerja yang menakutkan kontraktor. sebab buku DBP tidak boleh dipasarkan. perniagaan lembab. mereka terbit buku yang tidak menarik, tidak mengkaji pasaran terbuka. lepas tu, industri buku malaysia dimonopoli oleh kaum tertentu (semua sedia maklum, kedai buku di malaysia ni milik siapa? adakah melayu yang berjaya dalam business ini?) dari dulu lagi saya sudah khuatir, bahawa dawama tidak akan kekal lama. kerja lelong buku DBP pun kerap. buku macam tak ada harga. memanglah sedap bunyinya kalau buku untuk sekolah rendah dan menengah, itu sahaja yang diharap. terus terang, pengedaran buku juga menghadapi masalah apabila berdepan dengan pemilik kedai yang bukan orang kita. puak-puak ini menguasai pasaran buku hingga 80%. melayu hanya di pinggiran, jika ada yang kata melayu hebat, itu retorik je. jenguklah industri penerbitan, ia berangkai-rangkai, jadi posisi dawama ni menumpang dari rangkaian yang besar itu. nak cakap lebih nanti dikata rasis pula.tapi kenyataan.