23 Ogos 2011

Tak bertanding di Pulau Pinang: Koh terus membisu

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon terus membisu mengenai spekulasi yang beliau tidak akan bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Apabila tiba masanya, anda akan tahu sama ada dan di mana saya akan bertanding," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja BN negeri di Georgetown hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, Koh yang juga presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau perlu berbincang dengan anggota parti sebelum membuat pengumuman.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Koh membayangkan yang beliau tidak akan bertanding di Pulau Pinang bagi memberi laluan kepada calon lebih muda.

Kebelakangan ini, kepimpinan beliau sama ada di peringkat negeri dan nasional dikritik hebat oleh pemimpin sedia ada dan bekas pemimpin parti yang mempersoalkan keupayaannya menerajui parti.

Sementara itu, Koh berkata, persediaan jawatankuasa BN negeri bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang kini masuk ke tahap fasa kedua bagi memperkukuhkan parti di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Katanya, jawatankuasa kerja BN juga memulakan tinjauan mesra mingguannya di beberapa kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat dan memahami keperluan mereka.

Mengenai sama ada BN akan mampu menawan semula Pulau Pinang, Koh berkata, ia adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.

- Bernama

Tiada ulasan: