22 September 2011

Ahli akademik ditekan ubah fakta sejarah?

24 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Suara Solidariti Anak Bangsa Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap Majlis Pofesor Negara (MPN) berhubung kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Chow Kit itu khusus terhadap Pengerusi MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Prof. Datuk Dr Zainal Kling, menuntut mereka disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Kenyataan itu disifatkan sebagai sengaja menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong mana-mana pihak melakukan suatu yang melanggar undang-undang.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut sebelum laporan polis itu dibuat, salah seorang wakil solidariti, Aiman Athrah Al Jundi berkata, pihaknya yakin kenyataan tersebut mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kami khuatir para akademik ditekan dan digunakan oleh pihak politik tertentu untuk "mengubah" fakta sejarah demi menyokong pendirian politik mereka dan amat malang kenyatan ini dibuat oleh sebuah institusi akademik yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi," kata beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kerajaan perlu nyata pendirian

Sementara itu, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak didesak segera menyatakan pendirian terhadap kenyataan tersebut yang dianggap suatu penipuan kepada rakyat yang diajar sejak di sekolah menengah diajar bahawa British ialah penjajah dan Malaysia mendapatkan kemeredekaan daripada kuasa itu pada 31 Ogos 1957.

"Tiadanya pendirian yang jelas di pihak kerajaan berkenaan perkara ini akan memburukkan lagi keadaan dan dikhuatiri akan menimbulkan keadaan huru-hara dalam masyarakat jika tidak dibendung awal," katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil, Rozan Azen Mat Rasip yang juga Timbalan Ketua Penerangan AMK berkata, pihaknya berani tampil membuat laporan polis itu kerana mempunyai bukti Zainal pernah menulis buku bahawa Tanah Melayu pernah dijajah.

"Rakyat perlu bangkit membetulkan fakta yang dikeluarkan oleh Prof Zainal ini kerana beliau sendiri dalam salah satu bukunya ada menyebut bahawa Tanah Melayu pernah dijajah," katanya.

Sivarajan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula berkata, rakyat berhak membuat laporan polis kerana ditipu sejak sekian lama oleh ahli akademik.

"Di peringkat sekolah lagi kita belajar sejarah, Tanah Melayu pernah dijaj British. Tiba-tiba ahli kademik kata kita tidak pernah dijajah. Jadi kita ada hak untuk membuat laporan polis kerana ditipu," katanya.

Seorang lagi wakil ialah Wong Swee Mee dari Malaysia Youth Democratic Movement (Dema).

harakahdaily/-

Tiada ulasan: