22 September 2011

Negeri Lain Wajar Contohi Selangor Laksana Gaji Minima

24 Syawal 1432H. [MOD] -

SUNGEI WAY 22 SEPT: Langkah kerajaan negeri Selangor memperkenalkan skim gaji minima yang bermula Januari tahun hadapan disambut baik Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Pelaksanaannya yang sekian lama dinantikan, akhirnya kini dapat direalisasikan seterusnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri ini, kata Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason.

Bahkan menurut beliau, pelaksanaan skim gaji minima ini sekaligus dapat memacu ekonomi negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Saya rasa dengan gaji minima ini apa yang akan kita boleh menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Bila kita memberikan gaji yang sepatutnya seseorang itu patut dapat, saya pasti produktifnya akan meningkat.

" Bila anda beri gaji rendah sangat, dia bukan nak kerja. Habis waktu kerja, mereka akan cari kerja lain seperti potong rumput atau pergi kerja tempat lain. Jadi biar mereka dapat satu kerja yang berpatutan supaya mereka akan memberikan produktiviti yang sepenuhnya,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut beliau lagi, sebelum ini pihaknya pernah mencadangkan gaji minima diletakkan pada paras RM1,200 sebulan berdasarkan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Namun kerajaan negeri pada pelancaran Agenda Selangorku, Pelan dan Visi Untuk Tiga Tahun mengumumkan, ia akan melaksanakan skim gaji minima kepada semua kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dengan gaji paling rendah RM1,500 sebulan.

Dalam pada itu, diuja sama ada tindakan kerajaan negeri memperkenalkan skim gaji minima akan menjejaskan kewangan negeri, ia disanggah oleh Marimuthu.

Malah ujarnya, pelaksanaan skim gaji minima ini hakikatnya akan menguntungkan kerajaan negeri dan negara kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kakitangannya dalam menjalankan tugas.

tv news/-

Tiada ulasan: