22 September 2011

Penyerang Rabbani letup bom dalam serban

24 Syawal 1432H. [MOD] -


Burhanuddin Rabbani

KABUL: Penyerang yang membunuh bekas Presiden Afghanistan, Burhanuddin Rabbani mendesak mahu bersemuka dengan bekas pemimpin itu dan menunggu di Kabul beberapa hari kononnya untuk berbincang bagi menjadi orang tengah dalam rundingan damai dengan Taliban. 

Penasihat hubungan antarabangsa bagi Majlis Keamanan Mohammad Ismail Qasemyar, berkata penyerang dikenali sebagai Esmatullah menemui beberapa pegawai majlis dan mendakwa beliau adalah seorang tokoh penting pergerakan Taliban dan ingin bercakap terus dengan Rabbani.

“Beliau dakwa mahu bercakap dengan Rabbani mengenai rundingan damai,” kata Qasemyar. Penyerang itu menginap di rumah tetamu majlis berkenaan sementara menanti kepulangan Rabbani dari lawatan ke Iran.

Pada Selasa lalu, mereka bertemu dan penyerang berkenaan bersalaman dengan Rabbani di kediaman bekas pemimpin itu, menundukkan kepala dan meletupkan bom dalam serbannya, kata Qasemyar. 

Seorang lagi penyerang didakwa turut terbabit tetapi tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa Afghanistan. Seorang pegawai Barat yang enggan dikenali kerana kes berkenaan masih disiasat berkata, seorang sudah ditahan berhubung dengan kejadian itu. 

Pembunuhan Rabbani menjejaskan harapan perdamaian dengan Taliban dan meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan di Afghanistan ketika tentera asing mulai berundur dari negara itu. 

Sebahagian tentera Amerika Syarikat dan Kanada sudah meninggalkan Afghanistan sejak beberapa bulan lalu manakala rakan mereka yang masih bertugas juga bakal pulang atau bertindak sebagai membantu menjelang 2014, apabila tentera tempatan mengambil alih melindungi dan mempertahankan negara mereka. 

“Hari ini adalah satu hari yang menyedihkan,” kata Mohammad Egris, pelajar Universiti Kabul berusia 25 tahun antara penduduk dan pegawai tertinggi Afghanistan yang memberi penghormatan terakhir kepada Rabbani di kediamannya semalam. 

“Musuh Afghanistan, pengganas, terus membunuh pemimpin dan rakyat kami. Penduduk yang dibunuh adalah terbabit dalam proses memulihkan perdamaian dan kemakmuran.” – AP 

Tiada ulasan: