26 September 2011

Mazlan tak mahu bertelagah dengan MBFM

28 Syawal 1432H. [MOD] -



BERA, 26 Sept: “Saya tak akan bertelagah dengan badan belia Felda kerana tidak ada untungnya, bagi kami matlamatnya sama iaitu memperjuangkan hak belia iaitu mahu mengangkat martabat generasi kedua dan ketiga Felda," kata Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika ditanya mengenai serangan badan-badan belia sekutu Felda yang akhir-akhir ini menyerang beliau dalam media dan majlis rasmi.
(Gambar: Mazlan sedang berkata sesuatu kepada Adun Triang, Leong Ngah Ngah semasa jamuan hari raya PAS Bera.)
Terbaru ialah kenyataan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd Manap yang menganggap tindakan Mazlan dan Anak mengedarkan borang permohonan tanah Felda Plantation (FP) sebagai tidak bertanggungjawab kerana mempergunakan belia Felda untuk kepentingan politik (pembangkang).

Anuar berkata demikian di Majlis Jamuan Merdekaraya MBFM Jengka 3, kelmarin bersama kakitangan Felda seperti disiarkan dalam sebuah akhbar harian dan difahamkan membuat roadshow bagi tujuan ‘menyerang’ Mazlan.

Malah beliau menganggap edaran borang tersebut hanyalah gimik dan strategi politik bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan dalam tanah rancangan terutamanya dalam kalangan generasi muda Felda.

Bagi Mazlan, walaupun MBFM dan sekutu Felda yang lain menyerangnya dengan pelbagai kenyataan, beliau sekali-kali tidak akan berkonfrontasi kerana pendirian tersebut bukan menjadi prinsip Anak.

Mengenai edaran borang FP di seluruh rancangan Felda, Mazlan berkata ia selaras dengan tawaran dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) setelah Felda gagal  menyelesaikan masalah kehidupan generasi kedua dan ketiga yang sudah lama tertangguh.

“Apa yang dilakukan PR sangat relevan untuk membantu generasi kedua dan ketiga Felda kerana jumlah mereka semakin meningkat dan sekarang dianggarkan menjangkau angka lebih satu juta.

“Sebahagian daripada mereka yang tinggal di tanah rancangan pendapatan mereka rendah. Mereka tiada tempat tinggal melainkan terus menumpang ibu bapa (peneroka) dan sesetengahnya pula anak ramai.

“Masalahnya kerajaan atau Felda tidak ada perancangan untuk mereka. Yang ada diberikan bantuan berupa kosmetik seperti padang futsal, padang lumba motor dan sebagainya tetapi keperluan utama untuk masa depan kelompok ini tidak diindahkan,” jelasnya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita semasa jamuan hari raya Aidil Fitri PAS Kawasan Bera di Felda Tementi, di sini semalam.

Tambah Mazlan, konvensyen PR di Pulau Pinang tahun  lalu memutuskan tawaran kepada antaranya anak-anak peneroka untuk memiliki tanah FP yang diuruskan oleh korporat.

“Jadi Anak buat kaedah bagaimana untuk permudahkan proses.  Kalau kata gimik politik, persepsi itu tidak dapat dielakkan kerana untuk mereka mendapat tanah tersebut mestilah dengan menukar kerajaan. Jadi dari segi politiknya ini tidak dapat dielakkan.

“Kita tawar kepada mereka yang berusia 21 tahun kerana lazimnya mereka pada usia ini mendirikan rumah tangga. Jadi segala serangan yang dibuat oleh kumpulan tertentu hanya menggambarkan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat,”ujarnya.

Tambah Mazlan, apabila terbentuk sahaja kerajaan baru selepas pilihan raya umum (PRU), pihak nya akan serah kepada pejabat tanah dan merekalah yang akan menapis berdasarkan kriteria.

“Jadi borang yang diberi percuma ini tidak ditapis oleh Anak, kerana Anak hanya menjadi pemudah cara,” tambahnya.

Sementara itu, Mazlan berkata beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini bagi mendedahkan tiga keputusan besar yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah Felda.

H/daily

Tiada ulasan: