10 Oktober 2011

24 aktivis PSM dilepas tanpa dibebaskan

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini melepaskan tanpa bebas semua 24 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh berhubung pembabitan mereka dalam satu perhimpunan haram dan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah.

Hakim Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan kes terhadap pertuduhan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding hari ini.

Bagaimanapun, di bawah keputusan itu, pihak pendakwaan boleh mendakwa semua 24 orang aktivis itu sekiranya mempunyai bukti kemudian kelak.

Mahkamah juga menetapkan 28 Oktober ini untuk membacakan keputusan terhadap enam aktivis yang tidak hadir pada prosiding hari ini kerana mempunyai urusan lain.

Mereka ialah M Ravindran, 20; M Kavitha, 35; M Santhanadevi, 30; M Sivoosamy, 56; dan M Sugumaran kerana kematian ahli keluarga terdekat, manakala anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj mempunyai perbicaraan kes lain di Putrajaya.

Tertuduh yang lain ialah R Nalayani, 64; A Shanmugam, 57; G Velaitham, 54; S Ramasamy, 35; Chan Mooi, 55; K Kamaladevi, 57; Cheang Sew Yin, 60; K Deeba, 22; K Thanushia, 21; G Packialetchumy, 40; R Saroza, 51; NP Indra, 54; P Jody, 52; K Gana Santhanam, 45; J Reveen Veerasenan, 18; dan S Thivya Kumar, 18; semuanya dari Perak, M Aroklam, 62; dari Perlis dan Soh Sook Hwa, 29, dari Pulau Pinang.

Mereka didakwa secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu "BERSIH 2.0" dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa 600 helai salinan risalah yang mempunyai tulisan "Perhimpunan Bersih 2.0", bagi tujuan satu pertubuhan haram iaitu "BERSIH 2.0" untuk kegunaan perhimpunan "BERSIH 2.0" di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Mereka turut hadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen-dokumen subversif tanpa alasan yang sah mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri [Akta 82] 1960, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574]
yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bas di Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pada 3.30 petang, 25 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan pembelaan diketuai Datuk CV Prabhakaran.

- Bernama

Tiada ulasan: