10 Oktober 2011

Doktor gigi kaki lima

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BERBAHAYA...‘doktor’ gigi warga China tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan ketika menjalankan proses rawatan.

KUALA LUMPUR: Kerana yuran perkhidmatan yang murah, segelintir pengguna masih sanggup menggadaikan nyawa dengan mendapatkan rawatan pergigian daripada ‘doktor gigi’ tidak bertauliah di kaki lima Jalan Pasar Pudu, di sini.

Doktor gigi yang dipercayai berasal dari China itu memulakan perkhidmatan pergigiannya di kaki lima kawasan itu setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Mereka menawarkan perkhidmatan memasang gigi palsu dengan harga lebih murah daripada klinik swasta iaitu RM50 hingga RM80 satu gigi dan tempoh pemasangannya mengambil masa 20 minit.

Biarpun tidak tahu berbahasa Melayu, doktor terbabit mengupah jurubahasa yang bertindak sebagai pengantara untuk memaklumkan semua harga perkhidmatan.

Tinjauan Metroplus ke Jalan Pasar Pudu, baru-baru ini, mendapati empat doktor gigi warga China membuka klinik kaki lima di kawasan itu.

Berbekalkan peralatan pergigian, air, kerusi, carta dan sampel gigi palsu, mereka membuka klinik di tengah laluan itu tanpa memikirkan aspek keselamatan dan kebersihan.

Namun, masih ada segelintir pengunjung menggunakan perkhidmatan itu, biarpun tiada ciri-ciri keselamatan diamalkan.

Malah, doktor kaki lima terbabit mendakwa peralatan yang digunakan bersih dan selamat kerana semuanya sudah dicuci dengan ubat yang boleh membunuh kuman tanpa mensterilkan peralatan terlebih dulu.

Menurutnya, yuran perkhidmatan bergantung kepada jenis gigi yang digunakan, namun ia tahan sehingga tiga tahun, malah pelanggan boleh mendapat diskaun.

Katanya, pelanggan tidak perlu risau kerana doktor yang merawat sangat terlatih, berkemahiran dan pasti berpuas hati dengan perkhidmatan diterima.

“Sudah lima tahun kami menawarkan perkhidmatan pergigian di kaki lima ini dan sambutan amat menggalakkan. Pengguna tidak perlu risau kerana semuanya pasti selamat, prosedur yang dijalankan sama di klinik swasta dan lebih penting yurannya murah,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang mendapatkan khidmat doktor kaki lima terbabit yang mahu dikenali sebagai Liow, 45, berkata dia takut untuk mencuba, tetapi selepas diyakini, dia mencubanya juga kerana perkhidmatan ditawarkan murah dan cepat.

“Saya tahu mengenai doktor kaki lima ini melalui rakan yang pernah mendapat rawatan di sini dan mereka mencadangkan tempat ini kepada saya. Biarpun tidak mengamalkan ciri keselamatan dan kebersihan, kami tutup mata saja, asalkan perkhidmatannya murah dan bersesuaian dengan kami yang berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Haja Badrudeen Sirajudeen, mengingatkan pengguna supaya tidak menggadaikan nyawa dengan mendapatkan perkhidmatan doktor gigi tidak bertauliah kerana ia berisiko untuk berlakunya pemindahan virus penyakit seperti Aids dan hepatitis.

Katanya, dengan penggunaan alat yang tidak disterilkan dan kebersihan lain, tidak mustahil virus akan berpindah, terutama apabila berlaku pendarahan ketika melakukan rawatan.

“Kebanyakan doktor tidak bertauliah terbabit menggunakan kaedah rawatan berbeza mengikut panduan perubatan pergigian yang dibenarkan. Jika membuat rawatan tanam gigi, mereka akan gunakan gam atau simen yang memberi kesan kepada pengguna dan selepas beberapa tahun, ia akan bernanah dan berisiko untuk mendapat barah,” katanya ketika ditemui.

Menurut Dr Haja Badrudeen, mengikut Akta Pergigian 1971, pengamal perubatan pergigian yang berdaftar dengan persatuan dan mempunyai sijil tauliah yang sah saja boleh memberikan perkhidmatan.

Bagi doktor dari luar negara, mereka perlu mempunyai sijil tauliah yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Katanya, doktor luar negara hanya dibenarkan bertugas di hospital kerajaan dan ia belum dilaksanakan di sektor swasta.

“Biarpun yuran perkhidmatannya lebih murah, di klinik yang diiktiraf kerajaan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa,” katanya.

metro/-

2 ulasan:

Awanama berkata...

masih ada ke lagi doktor gigi kaki lima ni?

Unknown berkata...

ada