10 Oktober 2011

Bekas Presiden China muncul

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JIANG ZEMIN (tengah) melambaikan tangan semasa dia menghadiri majlis memperingati ulang tahun revolusi yang berjaya menumbangkan Dinasti Qing di Beijing semalam.

BEIJING - Bekas Presiden China, Jiang Zemin membuat kemunculan dalam satu majlis di sini semalam beberapa bulan selepas tersebarnya khabar angin bahawa dia sudah meninggal dunia.

Zemin yang berusia 85 tahun itu muncul dalam majlis memperingati ulang tahun ke-100 revolusi yang berjaya menamatkan pemerintahan dinasti Qing yang berlaku pada 1911.

Bekas Presiden itu memakai sut berwarna biru gelap dan bertali leher berwarna merah.

Rambutnya disikat kemas seperti semasa dia menjadi Presiden selain memakai cermin mata.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden China, Hu Jintao.

Zemin gagal hadir dalam majlis meraikan ulang tahun ke-90 penubuhan Parti Komunis pada Julai lalu menyebabkan spekulasi muncul bahawa dia sudah meninggal dunia.

Namun, pemerintah China kemudian menafikan khabar angin yang menyatakan dia sudah meninggal dunia.

Zemin yang mengetuai banyak perubahan kemajuan di China menyerahkan jawatan Presiden kepada Jintao pada 2002 selepas berkuasa pada 1989.

Dia mengetuai perubahan ekonomi yang dilancarkan oleh tokoh komunis China yang terkenal, Deng Xiaoping.

Pada zaman pentadbirannya, hubungan AS dengan China sentiasa tegang.

- Agensi

Tiada ulasan: